HOUSTON: Portugal tidak boleh melakukan sebarang kesilapan apabila turun menentang Uzbekistan dalam aksi kedua Kumpulan K Piala Dunia di Stadium Houston, esok.
Hanya kemenangan mampu menghidupkan semula peluang Selecao das Quinas untuk mara ke pusingan kalah mati selepas sekadar seri 1-1 dengan DR Congo dalam aksi pembukaan.
Keputusan seri itu, memberi tekanan besar kepada skuad kendalian Roberto Martinez untuk kembali ke landasan kemenangan, malah, Cristiano Ronaldo menjadi tumpuan utama dikritik.
Pemain sayap Portugal, Francisco Conceicao mengakui pasukannya gagal memenuhi jangkaan dalam aksi pertama dan sedar tekanan terus memuncak jika mereka sekali lagi tercicir mata.
“Tiada siapa yang lebih kecewa daripada kami. Kami sendiri berasa bahawa kami tidak melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.
“Jika keputusan tidak memihak kepada kami, tekanan dan kritikan akan bertambah. Kami mahu menunjukkan kualiti kami dan memenangi perlawanan seterusnya,” katanya.
Selain Conceicao, tumpuan sekali lagi terarah kepada kapten Portugal, Ronaldo yang dikritik selepas aksi hambar ketika menentang DR Congo.
Bagaimanapun, pemain berusia 41 tahun itu kekal menjadi sandaran utama dalam usaha memburu tiga mata pertama kejohanan.
Conceicao berkata, Ronaldo dianggap sebagai seorang anggota skuad yang memerlukan setiap individu memainkan peranan bagi memastikan pasukan berfungsi dengan baik.
“Ronaldo adalah contoh kerana kariernya dan semangat yang masih dimilikinya pada usia 41 tahun, contoh kepimpinan serta gol-gol yang dijaringkannya.
“Tiada siapa sepertinya apabila bercakap mengenai menjaringkan gol. Dia berada di sini untuk membantu, sama seperti pemain lain,” ujar pemain Juventus itu.
Uzbekistan pula hadir tanpa sebarang tekanan besar meskipun tewas 1-3 kepada Colombia dalam perlawanan pembukaan.
Pasukan yang membuat penampilan sulung di Piala Dunia itu menunjukkan peningkatan ketara pada babak kedua dan berjaya memberi tentangan sengit kepada wakil Amerika Selatan itu.
Jurulatih Uzbekistan, Fabio Cannavaro percaya anak buahnya kini semakin selesa dengan suasana Piala Dunia selepas mengatasi rasa gementar dalam aksi pertama.
“Saya beritahu mereka bahawa mereka terlalu gementar. Sebab itu mereka terlalu fokus untuk bertahan. Kami mempunyai kualiti untuk menjadi antara pasukan terbaik Asia, tetapi kami masih perlu berkembang,” kata bekas pertahanan Itali itu.
Di atas kertas, Portugal masih memiliki kelebihan dari segi pengalaman, kedudukan ranking dan kualiti individu, namun Uzbekistan sedia membuktikan mereka bukan pasukan pelengkap jadual.
Dengan Colombia kini mendahului Kumpulan K, keputusan di Houston bakal memberi kesan besar terhadap perebutan dua slot automatik ke pusingan 32 terbaik.-AGENSI










