Perjanjian tiga hala buka jalan damai Israel-Lubnan

Perjanjian tiga hala buka jalan damai Israel-Lubnan

SETIAUSAHA Negara AS, Marco Rubio (belakang tengah) menyaksikan Duta Besar Israel ke AS, Yachiel Leiter, Ketua Staf Jabatan Negara, Daniel Holler dan Duta Besar Lubnan ke AS, Nada Hamadeh, menandatangani perjanjian rangka kerja di Washington kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Lubnan, Israel dan Amerika Syarikat (AS) menandatangani perjanjian rangka kerja tiga hala yang bertujuan membuka jalan ke arah perjanjian damai antara dua musuh lama Asia Barat itu.

Perjanjian itu merangkumi pengambilalihan oleh tentera Lubnan ke atas dua kawasan yang diduduki Israel dan proses untuk melucutkan senjata Hizbullah. Ia adalah hasil daripada lima pusingan rundingan di ibu negara AS.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, berkata perjanjian tersebut mula mewujudkan rangka kerja untuk keamanan dan keselamatan yang berkekalan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini adalah permulaan. Terdapat banyak lagi kerja perlu dilakukan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian tersebut kelmarin.

Rubio berkata, perjanjian itu menetapkan satu proses jelas dan berstruktur untuk melucutkan senjata Hizbullah, selain menubuhkan kumpulan kerja ketenteraan yang diselaras AS bagi membantu pelaksanaan perjanjian.

Beliau berkata, AS akan menyalurkan AS$100 juta (RM408 juta) bantuan kemanusiaan dengan penyelarasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta membayar balik AS$30 juta (RM122 juta) kepada tentera Lubnan dalam usaha meningkatkan keupayaan dan kapasiti pasukan tersebut.

Duta Lubnan ke Washington, Nada Hamadeh Moawad berkata, perjanjian itu merupakan langkah pertama ke arah memulihkan kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan, memastikan penamatan permusuhan secara kekal dan muktamad, serta membolehkan rakyat kembali ke rumah mereka.

Menurut perjanjian yang dikeluarkan Jabatan Negara AS, Israel dan Lubnan mengisytiharkan hasrat mereka untuk menamatkan konflik, menangani punca asas dan seterusnya menamatkan perang secara rasmi.

Perjanjian itu mewujudkan satu proses di mana Angkatan Tentera Lubnan akan memulihkan kuasa kedaulatan ke atas wilayahnya, tertakluk kepada pengesahan pelucutan senjata kumpulan bersenjata khususnya Hizbullah.

Langkah tersebut seterusnya akan membolehkan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) untuk beransur-ansur berundur dari wilayah Lubnan, menurut perjanjian tersebut.

Walaupun perjanjian itu dimeterai, Israel dan Hizbullah menegaskan masih terdapat perbezaan besar antara kedua-dua pihak.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini