KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan meningkatkan mandat komponen biodiesel berasaskan minyak sawit daripada 10 peratus kepada 15 peratus di stesen minyak terpilih dijangka memberi impak besar terhadap kestabilan pasaran dan harga komoditi itu, sekali gus melindungi pendapatan para peneroka.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, peningkatan mandat itu secara langsung mengurangkan kebergantungan industri sawit tempatan kepada pasaran eksport yang sering berdepan dengan pelbagai sekatan serta taktik perlindungan oleh negara luar.
Katanya, Malaysia ketika ini mempunyai kira-kira 20 loji pengeluaran biodiesel di seluruh negara, termasuk kemudahan loji milik FGV Holdings Berhad (FGV) di bawah rangkaian Felda.
“Sebelum ini, kebanyakan loji tersebut beroperasi di bawah kapasiti sebenar ekoran permintaan domestik yang terhad kepada kadar 10 peratus di stesen minyak dan tujuh peratus bagi sektor industri.
“Namun, menerusi peningkatan mandat baharu ini, penggunaan biodiesel sawit akan bertambah dan membolehkan loji-loji ini meningkatkan kapasiti pengeluaran mereka. Sekiranya beroperasi pada kapasiti penuh, negara sebenarnya mempunyai keupayaan untuk mencapai peringkat penggunaan biodiesel sehingga 30 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Felda dan Encorp Berhad bagi projek pembinaan 450 unit rumah kakitangan Felda di Menara Felda, di sini semalam.
Mengulas mengenai pasaran eksport, Ahmad Shabery berkata, daripada keseluruhan 20 juta tan pengeluaran minyak sawit mentah negara, sekitar 15 hingga 16 juta tan dieksport ke luar negara, manakala tiga juta tan digunakan untuk sektor makanan dan hanya satu juta tan diperuntukkan bagi tujuan biodiesel.
“Kebergantungan yang terlalu tinggi kepada pasaran eksport mendedahkan industri kita kepada risiko diskriminasi, cukai tinggi, kuota serta pelbagai naratif negatif mengenai kelestarian dan isu buruh yang sengaja ditimbulkan negara luar untuk melindungi industri domestik mereka.
“Sebab itu, apabila kita meningkatkan penggunaan biodiesel dalam negara, ia menjadi mekanisma perlindungan terbaik untuk industri perladangan tempatan dan Felda bagi menjamin harga sawit terus kekal tinggi,” katanya.
Tambahnya, ujian yang dijalankan oleh FGV juga membuktikan kenderaan tempatan mempunyai keupayaan teknikal untuk menggunakan sehingga B100 (100 peratus biodiesel sawit) tanpa sebarang masalah, malah peningkatan penggunaan tenaga alternatif ini tidak akan menjejaskan sekuriti bekalan makanan negara. – UTUSAN










