Ouahbi yakin Maghribi mampu juara

Ouahbi yakin Maghribi mampu juara

Mohamed Ouahbi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATLANTA: Jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahbi percaya pasukannya memiliki segala ramuan untuk mencipta sejarah sebagai negara Afrika pertama menjulang trofi Piala Dunia selepas mara ke pusingan 32 terbaik tanpa tewas.

Skuad Atlas Lions meneruskan rentak cemerlang apabila bangkit daripada ketinggalan dua kali sebelum menewaskan Haiti 4-2 pada aksi terakhir Kumpulan C, sekali gus menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Brazil hanya berdasarkan perbezaan gol.

Kejayaan tersebut menyaksikan Maghribi bakal berdepan sama ada Belanda, Jepun atau Sweden pada aksi pusingan kalah mati di Monterrey, Isnin ini.

Menurut Ouahbi, pencapaian Maghribi yang muncul pasukan Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia di Qatar empat tahun lalu telah mengubah persepsi dunia terhadap kemampuan mereka.

“Maghribi kini berada pada tahap yang berbeza. Para pemain dan penyokong percaya kepada pasukan ini, manakala pihak lawan pula semakin menghormati kami.

“Kami perlu percaya bahawa sasaran untuk memenangi Piala Dunia adalah sesuatu yang boleh dicapai. Kami perlu memberikan komitmen sepenuhnya, menghormati setiap lawan dan terus berjuang dengan keyakinan tinggi.

“Saya percaya kepada usaha yang dilakukan oleh barisan kejurulatihan dan pemain. Kami mempunyai semua elemen untuk menjadi pasukan terbaik,” katanya.

Ouahbi yang pernah membawa Maghribi menjuarai Piala Dunia Bawah 20 (B-20) tahun lalu turut menegaskan dia tidak mempunyai sebarang pilihan lawan untuk pusingan seterusnya.

“Saya tidak mempunyai sebarang pilihan. Kita akan mengetahui lawan esok dan kami akan menghadapi perlawanan itu dengan objektif serta keyakinan yang sama,” katanya.

Sementara itu, meskipun menamatkan kempen tanpa sebarang mata, Haiti tetap menerima pujian atas semangat juang yang dipamerkan pada penampilan pertama mereka di Piala Dunia sejak 1974.

Haiti berjaya menjaringkan gol pertama mereka di pentas Piala Dunia selepas 52 tahun menerusi gol sendiri penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou serta jaringan menarik Wilson Isidor yang dua kali meletakkan pasukan Caribbean itu di hadapan.

Jurulatih Haiti, Sebastien Migne berkata, dia tetap berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan anak-anak buahnya walaupun gagal mengutip sebarang mata.

“Saya kecewa dengan keputusan ini, namun saya tidak melihat pemain-pemain saya berputus asa.

“Mereka menggambarkan semangat rakyat Haiti yang sentiasa tabah dan tidak pernah menyerah kalah. Pasukan ini telah mewakili negara dengan penuh maruah,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN