Onn Hafiz, Anthony Loke 'bersemuka' demi kesejahteraan rakyat - Utusan Malaysia

Onn Hafiz, Anthony Loke ‘bersemuka’ demi kesejahteraan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkongsi pentas sempena Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan, di sini hari ini selepas beberapa hari saling kedua-dua ‘berbalah’ di media sosial.

Onn Hafiz Ghazi berkata, beliau memilih untuk menghadiri program tersebut sebagai mewakili kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Majlis ini cukup bermakna buat negeri dan rakyat Johor. Walaupun jemputan diterima pada saat akhir, saya pinda dan susun semula jadual program pada hari ini. Sebenarnya saya ada tetamu dari Universiti Harvard hari ini.

“Walaupun berada dalam suasana luar biasa, kita harus kekal profesional dan bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas sebagai pihak kerajaan demi kesejahteraan rakyat Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Sementara itu, Siew Fook pula memberitahu, pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri, sama ada ia ditadbir gabungan parti politiknya sendiri ataupun gabungan parti politik lain, seperti di Johor.

“Saya nak beri jaminan kepada Datuk Onn Hafiz, walaupun kita tahu ini musim pilihan raya, ada keadaan agak luar biasa tetapi jangan bimbang. Sebagai Menteri Pengangkutan, saya akan bersikap profesional untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri.

“Isu politik itu tepikan dahulu, kita akan selesai secara politik, tetapi soal kerja, perkhidmatan kepada rakyat kita akan jalankan tanggungjawab seperti biasa, kita akan laksanakan kerja untuk rakyat di semua negeri,” katanya.

Tambah Siew Fook, pertemuan antara pihaknya bersama Onn Hafiz merupakan pertemuan antara Menteri Pengangkutan dan Menteri Besar Johor yang dibuat dalam keadaan harmoni.

“Saya harap hubungan kerja antara kita kekal positif, kekal baik. Mungkin ada pihak bersuka kerana tiada drama dan kita tidak bercakap soalan politik sebaliknya fokus kepada kebajikan rakyat, kerana ini pentas kerajaan.

“Ini satu kerjasama matang, satu cara politik baharu. Mungkin ada pandangan berlainan, pendirian politik berbeza tetapi kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri perlu ada kerjasama,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sepanjang tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, tiada sebarang program rasmi kerajaan akan dilaksanakan pihaknya di seluruh Johor.

“Selepas penamaan calon, dalam tempoh kempen PRN Johor, kita tiada buat program rasmi. Sebaliknya saya akan hadir ke Johor sebagai seorang ahli politik, pemimpin politik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN