Mesir bangkit raih kemenangan bersejarah

Mesir bangkit raih kemenangan bersejarah

PENGENDALI Mesir, Hossam Hassan (kiri) meraikan kejayaan pasukannya menewaskan New Zealand 3-1 dalam aksi Kumpulan G Piala Dunia 2026, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VANCOUVER: Jurulatih Mesir, Hossam Hassan memuji semangat juang anak buahnya selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan New Zealand 3-1 sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama negara itu dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia.

Kejayaan di Stadium BC Place itu meletakkan Mesir di tangga teratas Kumpulan G dengan empat mata daripada dua perlawanan selepas sebelum ini seri 1-1 menentang Belgium pada aksi pembukaan.

Menurut Hassan, dia memberi peringatan tegas kepada para pemain pada waktu rehat supaya menunjukkan tekad dan keyakinan lebih tinggi jika mahu membawa pulang kemenangan yang diimpikan penyokong.

“Pada separuh masa pertama kami tidak mempamerkan permainan sebenar. Saya memberitahu pemain bahawa kami perlu turun semula dengan semangat untuk menang dan membalas kepercayaan penyokong yang sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan.

“Kami memerlukan masa untuk membina keyakinan serta memanfaatkan kekuatan yang ada. Saya mahu generasi ini mencipta sejarah dan menentukan masa depan mereka sendiri,” katanya.

Mesir sebelum ini tidak pernah meraih kemenangan dalam tujuh perlawanan Piala Dunia, dengan rekod lima kekalahan dan dua keputusan seri dalam tiga penampilan terdahulu pada edisi 1934, 1990 dan 2018.

Kebangkitan Mesir pada separuh masa kedua banyak dipacu oleh Mohamed Salah yang menjaringkan satu gol selain mencipta satu lagi jaringan untuk rakan sepasukan.

Hassan turut memuji pengaruh besar pemain bintang itu yang disifatkan berjaya memanfaatkan peranan baharunya di atas padang.

“Salah bekerja keras sepanjang perlawanan. Kami meletakkannya di posisi yang sesuai dengan kelebihan dan kemampuannya. Saya yakin dia masih mampu memberikan lebih banyak sumbangan kepada pasukan,” katanya.

Mesir kini berada dalam kedudukan terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya dan akan melengkapkan saingan peringkat kumpulan dengan menentang Iran di Seattle, Jumaar ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN