Malaysia rekod FDI sebanyak RM65.9 bilion pada 2025

Malaysia rekod FDI sebanyak RM65.9 bilion pada 2025

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM65.9 bilion pada 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)

Syarikat tempatan pula terus mengembangkan pelaburan di peringkat antarabangsa dengan aliran keluar bersih RM12.4 bilion menerusi Pelaburan Langsung Malaysia di Luar Negeri (DIA).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, aliran masuk bersih FDI meningkat 41.2 peratus kepada RM65.9 bilion pada 2025 berbanding RM46.7 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Menurut beliau, prestasi itu disokong oleh suntikan ekuiti daripada pelabur asing serta aliran masuk dalam instrumen hutang.

“Kedudukan FDI terkumpul meningkat kepada RM1.09 trilion pada akhir 2025, bersamaan 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), berbanding 51.4 peratus pada 2024.

“Peningkatan ini mencerminkan keyakinan berterusan pelabur asing terhadap prospek ekonomi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi pelaburan ke luar negara, Mohd Uzir berkata, DIA merekodkan aliran keluar bersih RM12.4 bilion pada 2025, lebih rendah berbanding RM35.5 bilion pada tahun sebelumnya.

Katanya, kedudukan terkumpul DIA berjumlah RM589.3 bilion pada akhir 2025, mewakili 29.1 peratus daripada KDNK berbanding 32.2 peratus pada 2024.

“Pelaburan ini turut menjana pendapatan yang memberangsangkan apabila syarikat asing yang beroperasi di Malaysia merekodkan pendapatan sebanyak RM98.2 bilion, manakala syarikat Malaysia di luar negara mencatatkan pendapatan RM39.9 bilion,” katanya.

Mengulas komposisi aliran FDI mengikut sektor, beliau berkata, sektor perkhidmatan kekal sebagai penerima terbesar dengan aliran masuk bersih RM59.5 bilion pada 2025.

“Ia diikuti sektor perlombongan dan pengkuarian sebanyak RM3 bilion serta sektor pembuatan RM2.6 bilion.

“Dalam sektor perkhidmatan, subsektor maklumat dan komunikasi menyumbang 53.6 peratus daripada keseluruhan aliran masuk sektor itu, sejajar dengan peralihan global ke arah pendigitalan serta peningkatan pelaburan dalam infrastruktur pusat data.

“Selain itu, aktiviti kewangan turut mencatatkan aliran masuk ketara sebanyak RM26.1 bilion, didorong keyakinan pelabur terhadap landskap kewangan negara,” katanya.

Sementara itu, sektor pembuatan muncul sebagai penyumbang utama kepada pendapatan FDI dengan jumlah RM55.5 bilion.

“Sehingga akhir 2025, sektor perkhidmatan dan pembuatan terus mendominasi stok FDI negara dengan masing-masing bernilai RM596.7 bilion dan RM419.3 bilion,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN