Magis Messi bawa Argentina ke pusingan kalah mati

Magis Messi bawa Argentina ke pusingan kalah mati

Kapten Argentina, Lionel Messi (kiri) melepaskan rembatan sambil diasak pertahanan Austria, Marco Friedl dalam aksi Kumpulan J Piala Dunia 2026 di Stadium Dallas, Arlington, Texas awal pagi tadi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARLINGTON: Lionel Messi sekali lagi membuktikan mengapa namanya kekal menjadi ukuran keagungan bola sepak dunia apabila dua gol jaringannya membawa Argentina menewaskan Austria 2-0 sekali gus mengesahkan tempat juara bertahan itu ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026.

Pada usia 38 tahun dan beraksi dalam penampilan keenam di Piala Dunia, Messi terus mencuri perhatian apabila meledak dua gol yang turut menjadikannya penjaring terbanyak dalam sejarah kejohanan dengan 17 gol.

Bagaimanapun, malam gemilang bintang Inter Miami itu hampir dicemari apabila dia terlebih dahulu mensia-siakan sepakan penalti pada minit kesembilan sebelum Austria berjaya bertahan daripada dibolosi sepanjang sebahagian besar babak pertama.

Kebuntuan akhirnya dipecahkan pada minit ke-38 apabila Messi menyudahkan gerakan kemas Argentina menerusi penyudah kaki kiri yang menjadi identitinya sebelum menambah gol kedua pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan 2-0 milik La Albiceleste.

“Sudah tentu saya gembira dengan kemenangan ini kerana ia sangat penting, perlawanan yang sukar dan memberi sedikit ketenangan kepada kami untuk menghadapi cabaran seterusnya.

“Perlawanan berlangsung sengit dan seimbang tetapi kami berjaya mendapatkan enam mata yang sangat berharga,” kata Messi.

Rakan sepasukannya, Julian Alvarez pula menyifatkan legenda Argentina itu sebagai pemain terbaik sepanjang zaman selepas sekali lagi menjadi pemisah antara dua pasukan di atas padang.

“Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai Leo kerana selama lebih 20 tahun dia sentiasa menjadi pemain terbaik dunia dan bagi saya dia adalah pemain terbaik dalam sejarah bola sepak,” kata Alvarez. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN