MANILA: Jumlah gegaran susulan ekoran gempa bumi kuat berukuran 7.8 skala Richter yang melanda perairan Sarangani, Filipina semalam terus meningkat, dengan angka terkini mencecah 1,100 setakat pukul 8 pagi ini, menurut pihak berkuasa seismologi negara itu.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) memaklumkan, gegaran susulan yang direkodkan berada dalam julat magnitud 1.3 hingga 6.7, menandakan aktiviti seismik masih berterusan di kawasan berhampiran pusat gempa.
Daripada jumlah itu, 313 gegaran susulan dipetakan, manakala 23 daripadanya turut dirasai oleh penduduk setempat.
Gempa bumi kuat melanda perairan Maasim, Sarangani pada pukul 7.37 pagi Isnin, mencetuskan ombak tsunami serta menyebabkan kerosakan pada infrastruktur, kemudahan elektrik dan sistem komunikasi di beberapa kawasan di Mindanao.
Phivolcs sebelum ini memberi amaran gegaran susulan dijangka berterusan selama lebih sebulan selepas kejadian tersebut.- AGENSI










