KUWAIT CITY: Kuwait mendakwa Iran menyerang Terminal Penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait pada Rabu, menyebabkan beberapa kecederaan dan memaksa operasi penerbangan dihentikan sementara.
Dalam masa sama, Bahrain dan Amerika Syarikat (AS) berkata pasukannya memintas satu serangan Iran yang menyasarkan Bahrain.
Serangan itu menguji gencatan senjata bertarikh 8 April yang sebahagian besarnya kekal, walaupun masih berlaku insiden serangan berselang-seli susulan konflik lebih sebulan antara Iran, AS dan Israel.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kuwait, Brigadier Jeneral Saud Abdulaziz Al-Atwan, menyifatkan insiden itu sebagai ‘pencerobohan jenayah Iran’ yang menyebabkan kerosakan besar pada bangunan serta kecederaan.
Beliau dalam satu hantaran media sosial berkata, mangsa yang cedera kini menerima rawatan, namun tidak mendedahkan jumlah sebenar.
Agensi berita rasmi Kuwait melaporkan, pihak berkuasa penerbangan awam menggantung semua operasi di lapangan terbang dan mengalihkan penerbangan masuk ke lapangan terbang lain selepas Terminal Satu dilaporkan terkena serangan yang menyebabkan kerosakan dan kecederaan.
Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menyalahkan AS atas serangan terhadap sebuah menara komunikasi di Pulau Qeshm, Iran, walaupun mereka tidak secara jelas menyatakan menyasarkan lapangan terbang Kuwait.
“Sebagai tindak balas kepada pencerobohan ini, pangkalan udara dan helikopter mereka yang terletak di salah satu negara di rantau ini, serta ibu pejabat Armada Kelima AS, diserang dengan peluru berpandu dan dron oleh pasukan aeroangkasa IRGC,” kata Pengawal Revolusi itu.
Lapangan terbang antarabangsa Kuwait sebelum ini beberapa kali menjadi sasaran sepanjang perang dan hanya beroperasi sepenuhnya semula pada 1 Jun.
Negara Teluk yang kaya dengan minyak itu, sekutu Amerika Syarikat, turut menjadi sasaran serangan Iran selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran serta membunuh kepimpinan tertingginya pada akhir Februari.
Teheran berulang kali menuduh Kuwait dan negara-negara Teluk lain membenarkan tentera Amerika Syarikat melancarkan serangan dari wilayah mereka.
Sebelum itu, tentera AS berkata ia ‘berjaya menangkis’ beberapa serangan peluru berpandu dan dron Iran ke atas Kuwait dan Bahrain, serta melancarkan serangan balas ke atas Pulau Qeshm, Iran.
“Dua peluru berpandu Iran yang dilepaskan ke Kuwait gagal mencapai sasaran atau pecah di udara, manakala tiga peluru berpandu yang dilancarkan ke Bahrain telah dipintas serta-merta oleh sistem pertahanan udara Amerika Syarikat dan Bahrain,” menurut Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM).
Pihak berkuasa Bahrain turut berkata mereka memintas tiga peluru berpandu dan beberapa dron yang dilancarkan oleh Iran.- AFP










