LOS ANGELES: Pemain golf wanita No. 1 dunia, Nelly Korda akhirnya menamatkan penantian panjang untuk menjulang gelaran Terbuka Wanita Amerika Syarikat (AS) selepas mengharungi aksi mendebarkan di Riviera Country Club, hari ini.
Kejayaan tersebut menyaksikan pemain berusia 27 tahun itu meraih gelaran utama keempat dalam kariernya dan kedua musim ini selepas turut menjuarai Chevron Championship pada April lalu.
Korda menamatkan saingan dengan keseluruhan lapan bawah par 276 selepas mencatat dua bawah par 69 pada pusingan terakhir untuk mengatasi cabaran sengit pemain England, Charley Hull dan wakil Mexico, Gaby Lopez yang berkongsi kedudukan kedua dengan tujuh bawah par 277.
Detik penentu kemenangan hadir di lubang ke-17 apabila Korda berjaya melakukan birdie penting sebelum menyempurnakan putt par pendek di lubang terakhir yang hampir sahaja tersasar ketika tekanan memuncak.
“Saya rasa seperti sedang bermimpi. Saya tidak mampu menggambarkan betapa besarnya makna kemenangan ini buat diri saya.
“Ini adalah kejohanan yang sentiasa saya idamkan dan akhirnya saya berjaya mencapainya,” kata Korda.
Menurutnya, kemenangan tersebut menjadi lebih manis kerana beliau terpaksa berjuang habis-habisan sepanjang minggu selain tidak mempamerkan permainan terbaik seperti kebiasaannya.
“Minggu ini memang sangat mencabar. Saya rasa saya tidak bermain pada tahap terbaik, tetapi saya terus berjuang dan kekal sabar.
“Dalam kejohanan major, anda perlu kuat dari segi mental walaupun permainan tidak menjadi seperti diharapkan,” katanya.
Hull yang memburu gelaran major pertama pula sekali lagi terpaksa berpuas hati selaku naib juara buat kali kelima selepas gagal mempertahankan kelebihan yang dimiliki pada pertengahan pusingan terakhir, manakala pemain Korea Selatan, Chun In-Gee menamatkan saingan di tempat keempat dengan enam bawah par 278. – AGENSI










