KUALA LUMPUR: Persatuan Tenpin Boling Kuala Lumpur (KLTBA) memilih untuk meraikan ulang tahun ke-50 penubuhannya dengan cara cukup istimewa menerusi penganjuran Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur MILO 2026 (KLIO26) yang menawarkan hadiah keseluruhan RM355,820.
Kejohanan yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid dari 13 hingga 21 Jun itu dijangka menjadi edisi terbesar pernah dianjurkan dengan penyertaan penuh skuad kebangsaan serta pemain profesional antarabangsa dari Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Singapura, Taiwan dan Thailand.
Antara nama besar negara yang bakal menjadi tumpuan ialah juara dunia Muhammad Rafiq Ismail, bekas juara Asia Timmy Tan, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Natasha Roslan dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman.
Lebih menarik, hadiah keseluruhan tahun ini meningkat RM50,000 berbanding edisi lalu dengan juara kategori Terbuka Campuran bakal membawa pulang RM30,000.
Presiden KLTBA, Tan Sri Mohd Noor Abdul Rahim berkata, sambutan Jubli Emas menjadikan penganjuran kali ini lebih bermakna buat persatuan tersebut.
“Selama lima dekad, KLTBA kekal komited dalam membangunkan sukan boling di semua peringkat daripada program akar umbi dan belia sehinggalah kepada pertandingan elit serta para.
“Kami berbangga kerana KLIO terus menjadi platform yang menghimpunkan pemain kebangsaan, pemain profesional antarabangsa, atlet para dan bakat muda di bawah satu bumbung,” katanya.
Selain saingan elit, KLIO26 turut mencatat rekod penyertaan 270 atlet para dari Malaysia dan Singapura, sekali gus mengukuhkan status kejohanan itu sebagai antara platform pembangunan boling paling penting di negara ini.










