PETALING JAYA: Universiti Putra Malaysia (UPM) terus mencuri tumpuan apabila sekali lagi mencatat kejutan pada hari kedua Varsity Track & Field (VTF) 2026 Siri 2 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus, Terengganu, semalam.
Kejayaan kali ini hadir menerusi kuartet 4×100 meter (m) lelaki UPM yang memecahkan rekod kejohanan mereka sendiri dengan catatan masa 40.51 saat (s).
Tempat kedua menjadi milik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan catatan 42.11s manakala Universiti Multimedia (MMU) meraih gangsa selepas mencatat 42.51s.
Pencapaian ini meletakkan UPM berada pada landasan terbaik dalam persiapan menghadapi kejohanan lebih besar, khususnya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT), yang menjadi medan kelayakan ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) hujung tahun ini.
Pengurus pasukan UPM, Hasmawi Azlie Nasaruddin, menyifatkan pencapaian tersebut sebagai petanda positif terhadap keberkesanan program latihan berterusan pasukan.
“Apabila atlet berjaya memecahkan rekod sendiri dua hari berturut-turut, ia menunjukkan satu penanda aras baharu buat program latihan kami yang tidak pernah berhenti walaupun selepas kejohanan,” katanya.
Hasmawi turut menambah bahawa momentum awal ini bukan sesuatu yang terlalu awal untuk dinilai, sebaliknya penting dalam membina keyakinan menjelang SUKIPT nanti.
Dalam masa sama, Hasmawi tidak menafikan cabaran sengit daripada IPT lain, khususnya UPSI yang dilihat sebagai pencabar terdekat UPM dalam perebutan slot ke AUG.
“Walaupun ramai atlet kebangsaan datang dari UPM, persaingan tetap sengit dengan IPT lain. VTF ini juga menjadi pentas penting kerana ia membuka peluang sama rata untuk semua,” katanya.
Sebelum ini, pada hari pembukaan Siri 2 VTF 2026, atlet UPM, Muhammad Fakrul Afizul Nasir turut mencuri tumpuan apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 400m lari berpagar dengan catatan 50.53s.
Catatan tersebut memperbaharui rekod miliknya sendiri iaitu 51.11s yang dicatat dua tahun lalu. – UTUSAN










