PETALING JAYA: Rakyat Malaysia yang berada di Indonesia dinasihatkan supaya mengelakkan beberapa kawasan di Jakarta Pusat susulan demonstrasi yang berlangsung, hari ini.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata, demonstrasi itu dilaporkan tertumpu di sekitar Bundaran HI dan Patung Arjuna Wiwaha atau Patung Kuda.
Katanya, perkembangan berkenaan dijangka menjejaskan aliran trafik di beberapa laluan utama termasuk Jalan MH Thamrin, Jalan Jenderal Sudirman dan Jalan Medan Merdeka Barat.
“Warganegara Malaysia yang berkunjung untuk urusan perniagaan, pelancongan dan sebagainya dinasihatkan supaya merancang pergerakan dan mengikuti perkembangan semasa melalui pengumuman pihak berkuasa serta media tempatan.
“Warganegara Malaysia juga dinasihatkan untuk menghindari lokasi demonstrasi dan tidak melibatkan diri dalam apa-apa tindakan yang menyalahi undang-undang tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsulat boleh menghubungi talian +6281380813036. – UTUSAN










