BERLIN: Kerajaan Jerman akan menubuhkan sebuah institusi keselamatan kecerdasan buatan (AI) untuk menganalisis prestasi serta risiko model teknologi tersebut.
“Majlis Keselamatan Negara menilai implikasi model AI canggih terhadap keselamatan siber di Jerman,” kata seorang jurucakap kerajaan selepas mesyuarat majlis itu pada lewat Isnin, sambil memaklumkan keputusan untuk menubuhkan institut berkenaan.
Institut tersebut akan menilai prestasi model AI serta risiko yang mungkin ditimbulkannya, selain memperkukuh perkongsian maklumat dengan institut di negara-negara lain.
Matlamatnya adalah untuk bekerjasama dengan rakan antarabangsa ke arah penerimaan piawaian yang selaras bagi penggunaan AI, kata jurucakap itu.
Berlin sebelum ini turut mengumumkan rancangan untuk memperkukuh tindak balas terhadap peningkatan serangan siber, yang kini semakin berbahaya kerana turut melibatkan elemen AI.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Jerman, sekitar 334,000 kes jenayah siber direkodkan tahun lalu, dengan dua pertiga daripadanya dipercayai berpunca dari luar negara atau sumber tidak diketahui.- AFP










