PHILADELPHIA: Ketua jurulatih Iraq, Graham Arnold menegaskan pasukannya tidak akan turun dengan mentaliti bertahan semata-mata apabila berdepan Perancis dalam aksi Kumpulan I Piala Dunia, esok, sebaliknya berazam untuk mencipta kejutan ke atas pasukan pilihan kejohanan itu.
Menurut pengendali kelahiran Australia itu, dia sentiasa menerapkan falsafah permainan yang menuntut pasukan berusaha untuk menang dan bukannya sekadar mengelakkan kekalahan.
“Saya sentiasa menjadi jurulatih yang turun ke padang dengan sasaran untuk menang. Memang ada masanya pendekatan itu tidak menjadi, namun banyak juga perlawanan yang memihak kepada kami kerana keyakinan tersebut.
“Kami akan turun dengan kepercayaan dan harapan untuk menang. Mentaliti seperti itu memberi impak positif kepada pemain,” katanya kepada media menjelang pertemuan di Philadelphia.
Iraq yang kini menghuni ranking ke-57 dunia kembali beraksi di pentas Piala Dunia buat kali pertama sejak 1986 selepas mengharungi laluan kelayakan yang panjang dan mencabar tidak gentar berdepan Perancis
Cabaran Iraq dijangka lebih sukar apabila perlu mengekang jentera serangan Perancis yang diketuai kapten, Kylian Mbappe yang meledak dua gol ketika membantu Les Bleus menewaskan Senegal 3-1.
Arnold bagaimanapun enggan terlalu memikirkan kekuatan lawan dan mahu anak-anak buahnya memberi tumpuan sepenuhnya kepada corak permainan sendiri.
“Mereka mempunyai pemain-pemain bertaraf dunia dan kami menghormati mereka. Namun, fokus utama kami adalah memastikan pasukan bersedia sepenuhnya untuk mempamerkan kemampuan sebenar di atas padang,” katanya.
Berita baik buat Iraq apabila pemain sayap berbakat, Ali Jasim disahkan cergas untuk diturunkan selepas mengalami sedikit masalah kecergasan ketika menentang Norway.
Arnold turut mengakui teruja untuk berdepan jurulatih Perancis, Didier Deschamps yang bakal menamatkan khidmatnya bersama skuad kebangsaan itu selepas kejohanan ini.
“Dia seorang jurulatih yang luar biasa dan telah membawa banyak kejayaan kepada Perancis. Jelas sekali para pemain sangat menghormati dan menyayanginya.
“Saya percaya mereka mahu menghadiahkan sesuatu yang istimewa buatnya pada Piala Dunia terakhir ini. Secara keseluruhannya, dia telah melakukan tugas yang hebat,” katanya. – AFP










