Iran dihimpit kontroversi visa menjelang Piala Dunia

Iran dihimpit kontroversi visa menjelang Piala Dunia

WALAUPUN para pemain berjaya memperoleh visa untuk memasuki Amerika Syarikat bagi menghadapi aksi Kumpulan I menentang New Zealand, Belgium dan Mesir, kira-kira 15 anggota delegasi dilaporkan gagal mendapatkan kebenaran sama. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIJUANA: Ketibaan skuad kebangsaan Iran ke Mexico menjelang Piala Dunia 2026 disambut penuh semangat oleh penyokong setia mereka, namun kempen Team Melli kali ini turut dibayangi kemelut visa yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat.

Walaupun para pemain berjaya memperoleh visa untuk memasuki Amerika Syarikat bagi menghadapi aksi Kumpulan I menentang New Zealand, Belgium dan Mesir, kira-kira 15 anggota delegasi dilaporkan gagal mendapatkan kebenaran sama.

Antara yang terjejas ialah Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai campur tangan politik dalam temasya terbesar bola sepak dunia itu.

“Bagi saya perkara ini tidak masuk akal kerana sukan sepatutnya menjadi simbol keamanan.

“Apabila politik dicampurkan dengan sukan, ia tidak akan membawa kebaikan kepada sesiapa,” kata penyokong Iran yang menetap di Tijuana, Sadegh Galavi.

Situasi tersebut menambah lagi cabaran buat Iran yang sebelum ini berdepan ketidaktentuan susulan konflik ketenteraan melibatkan negara itu sejak beberapa bulan lalu sehingga menimbulkan persoalan mengenai penyertaan mereka dalam Piala Dunia.

Bagaimanapun, Iran akhirnya tetap hadir ke kejohanan itu dan memilih Tijuana sebagai kem latihan berbanding Tucson, Arizona seperti perancangan asal atas faktor keselamatan.

“Saya tidak fikir semua perkara ini akan menjejaskan pasukan kerana sejarah Iran sudah melalui pelbagai cabaran.

“Keadaan seperti ini hanya menjadikan kami lebih kuat dan tidak akan menggugat fokus pemain,” kata penyokong Iran-Amerika, Sina Moghadam.

Dalam masa sama, kawalan keselamatan ketat dilaksanakan di sekitar hotel penginapan pasukan dan lokasi latihan di Stadium Caliente, manakala ramai penyokong berharap Iran mampu melakar sejarah dengan mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN