Iran dakwa layanan tuan rumah tidak adil, ganggu persiapan

Iran dakwa layanan tuan rumah tidak adil, ganggu persiapan

PEMAIN-Pemain Iran menjalani sesi latihan menjelang aksi kedua berdepan Belgium, awal pagi esok.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Iran meluahkan rasa kecewa terhadap layanan logistik yang diterima sepanjang kempen Piala Dunia 2026 apabila mendakwa kekangan perjalanan yang dikenakan ke atas pasukan itu menjejaskan persiapan dan prestasi mereka di atas padang.

Ketua jurulatih Iran, Amir Ghalenoei berkata, pasukannya akhirnya diberikan kelonggaran untuk mengatur sendiri perjalanan menjelang aksi terakhir Kumpulan G menentang Mesir di Seattle, namun mempersoalkan mengapa keistimewaan sama tidak diberikan lebih awal.

Menurut beliau, Iran terpaksa berdepan situasi mencabar apabila berpangkalan di Mexico sepanjang kejohanan walaupun semua perlawanan mereka berlangsung di Amerika Syarikat, sekali gus memaksa skuad itu berulang-alik merentasi sempadan dalam tempoh yang singkat.

“Mereka memaklumkan bahawa di Seattle nanti kami boleh membuat keputusan sendiri, datang lebih awal dan mengatur perjalanan mengikut perancangan pasukan.

“Tetapi persoalan saya, mengapa perkara yang sama tidak dibenarkan untuk dua perlawanan pertama? Bagi aksi terakhir, kami diberikan kebebasan, namun sebelum ini segala-galanya ditentukan oleh pihak lain,” katanya.

Situasi itu berlaku ketika Iran menyertai kejohanan dalam suasana tegang susulan konflik yang masih berlanjutan antara negara itu dan Amerika Syarikat, salah satu tuan rumah bersama Piala Dunia 2026.

Ghalenoei percaya jadual perjalanan yang padat dan meletihkan menjadi antara punca pasukannya gagal mempamerkan aksi terbaik ketika seri 2-2 dengan New Zealand dalam perlawanan pembukaan, apabila mereka terpaksa bangkit dua kali daripada ketinggalan.

“Terdapat beberapa kesilapan individu dan kami juga terlalu banyak melakukan hantaran. Saya fikir pemain menjadi letih kerana terlalu kerap terbang dan menempuh perjalanan yang panjang,” katanya.

Lebih mengecewakan, Iran hanya tiba di Amerika Syarikat kurang 24 jam sebelum sepak mula bagi pertemuan menentang Belgium selepas rancangan untuk melakukan perjalanan lebih awal gagal direalisasikan.

Menurut Ghalenoei, FIFA sebelum itu memberi bayangan bahawa pasukannya mungkin dibenarkan bergerak lebih awal, namun keputusan berkenaan berubah pada saat akhir.

“Kami menunggu sehingga jam 7 malam sebelum dimaklumkan bahawa perkara itu tidak dapat dilaksanakan. Keadaan seperti ini memberi kesan kepada mental kami, terutama saya sebagai jurulatih kerana fokus sepatutnya diberikan kepada aspek teknikal pasukan,” katanya.

Beliau turut mendedahkan Iran hanya sempat menjalani separuh daripada sesi latihan yang dirancang menjelang perlawanan, sekali gus menyukarkan usaha pasukan membuat persiapan rapi.

Dalam pada itu, saingan Kumpulan G masih terbuka luas apabila Belgium, Mesir, Iran dan New Zealand masing-masing mengumpul satu mata selepas aksi pertama. Situasi itu menjadikan baki dua perlawanan sebagai penentu utama untuk merebut tiket ke pusingan kalah mati.

Bagi Iran, pertemuan dengan Belgium dan Mesir bukan sahaja penting dari sudut pungutan mata, malah menjadi peluang untuk membuktikan bahawa mereka mampu mengatasi segala cabaran di luar padang demi meneruskan impian mencipta kejayaan di pentas dunia.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN