Iran bangkit elak dimalukan New Zealand

Iran bangkit elak dimalukan New Zealand

Penyerang New Zealand, Chris Wood (kiri) menanduk bola melepasi penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand ketika aksi Kumpulan G Piala Dunia 2026 di Stadium Los Angeles, Inglewood, hari ini, yang berakhir dengan keputusan seri 2-2. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Iran dua kali bangkit daripada ketinggalan sebelum mengikat New Zealand 2-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan G Piala Dunia 2026 di Stadium Los Angeles, hari ini.

Keputusan itu hadir di tengah-tengah pelbagai kontroversi yang menyelubungi kem Iran sejak beberapa bulan lalu termasuk isu visa, perpindahan kem latihan ke Mexico dan bantahan anti-kerajaan di luar stadium.

New Zealand yang berada pada ranking paling rendah dalam kejohanan mengejutkan lawan apabila Elijah Just meledak gol pembukaan seawal minit ketujuh hasil gerakan yang dimulakan Chris Wood.

Iran berjaya menyamakan kedudukan menerusi Ramin Rezaeian pada minit ke-32 sebelum Just sekali lagi meletakkan New Zealand di depan menerusi gol kedua peribadinya pada minit ke-55.

Bagaimanapun, Iran enggan mengalah apabila Mohammad Mohebi menanduk masuk gol penyamaan sembilan minit kemudian untuk menghidupkan semula harapan pasukannya.

Sepanjang baki permainan, Iran lebih banyak menguasai serangan namun ketumpulan penyudah serta disiplin benteng New Zealand menggagalkan usaha mereka mencari gol kemenangan.

Keputusan seri itu sedikit merencatkan misi Iran memburu slot ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia.

Namun, peluang skuad Team Melli masih terbuka selepas satu lagi aksi Kumpulan G menyaksikan Belgium dan Mesir turut berkongsi mata menerusi keputusan seri 1-1. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN