JAKARTA: Indonesia akan mengurangkan perbelanjaan untuk program makanan percuma negara itu, dengan kemungkinan pemotongan sekitar 40 trilion rupiah (RM9.6 bilion) pada 2026.
Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa berkata, pelan kecekapan bajet itu dibincangkan bersama Agensi Pemakanan Kebangsaa (NNA), yang mengendalikan program berkenaan.
Beliau berkata, NNA akan menentukan angka akhir sebelum memaklumkannya kepada Presiden Prabowo Subianto, sebelum ia diumumkan secara terbuka.
“Bakal ada penjimatan lanjut daripada program ini, dan saya fikir ia agak ketara,” katanya.
Beliau juga hanya menjawab ‘mungkin’ apabila ditanya sama ada jumlah pemotongan itu akan mencecah 40 trilion rupiah.
Menteri berkenaan tidak mengulas sama ada akan berlaku pengurangan dalam bilangan pelajar sekolah, kanak-kanak kecil, wanita hamil dan ibu menyusu yang menerima manfaat daripada skim itu, yang merupakan antara janji utama pilihan raya Prabowo.
Pada 25 Jun, Reuters melaporkan Jakarta sedang mempertimbangkan pemotongan lebih AS$2 bilion (S$2.6 bilion) bagi program berkenaan, dan jumlah penerima mungkin dikurangkan kepada 49 juta orang berbanding 62.5 juta ketika ini.
Sasaran awal program itu adalah untuk menyediakan makanan kepada 83 juta orang.
Belanjawan program berkenaan bagi tahun ini pada awalnya ditetapkan sebanyak 335 trilion rupiah, menjadikannya antara peruntukan terbesar bagi satu projek tunggal. Pada Mei, perbelanjaan yang dirancang dikurangkan kepada 268 trilion rupiah.
Purbaya berkata, ‘penajaman bajet’ serta penurunan harga minyak global akan memberi lebih ruang kepada kerajaan untuk mengekalkan defisit fiskal di bawah had yang ditetapkan iaitu tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026.
Beliau berkata, NNA meminta Kementerian Kewangan membantu memantau pelaksanaan program tersebut.
Pengurangan perbelanjaan yang dibangkitkan itu berlaku ketika Jakarta berusaha mengurangkan tekanan terhadap kedudukan bajet negara, yang turut terjejas oleh beberapa faktor termasuk kenaikan harga minyak dan kelemahan nilai mata wang rupiah.- AGENSI










