KUALA LUMPUR, 26 JUN 2026 – Penyanyi dan komposer terkenal, Hazami, memohon maaf kepada peminat dan penggiat industri muzik atas penangguhan pelancaran single terbaharunya, Renjana Jiwa, yang ditunda ke 10 Julai 2026.
Menurut Hazami, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan selain keperluan perhatian lanjut bagi memastikan karya berkenaan dapat dipersembahkan dalam keadaan baik.
“Saya mohon maaf kepada semua yang sudah menantikan pelancaran Renjana Jiwa. Keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk diambil kerana saya sendiri amat teruja untuk berkongsi karya ini dengan pendengar. Namun, atas beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, kami mengambil keputusan untuk menangguhkannya ke 10 Julai 2026.
“Saya percaya setiap karya mempunyai waktunya tersendiri untuk diraikan. Saya amat menghargai kesabaran, doa dan sokongan berterusan daripada peminat yang sentiasa bersama saya sepanjang perjalanan seni ini,” kata Hazami.
Renjana Jiwa merupakan karya terbaharu Hazami yang diterbitkan oleh Chevy Amry bersama Aszuad Zakaria, dengan susunan muzik, rakaman vokal latar, adunan dan mastering oleh Azlan Abu Hassan.
Lagu ini disifatkan sebagai sebuah naskhah yang sarat dengan emosi, menyentuh tentang perjalanan jiwa, kerinduan, harapan dan penerimaan dalam kehidupan.
Menurut Chevy, Hazami hanya mengambil masa setengah jam untuk menyiapkan rakaman vokal di studio.
”Saya selesa berkerjasama dengan Hazami kerana sifat profesionalismenya. Saya juga terharu kerana ini kali pertama Hazami sudi menyanyikan karya orang lain sebagai single beliau”, tambahnya lagi.
Pihak pengurusan kini dalam perancangan untuk shooting Muzik Video Rasmi pada bulan Julai.
Hazami dan pihak pengurusan juga turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak media, rakan industri dan peminat atas kefahaman serta sokongan yang diberikan.
Renjana Jiwa kini dijadualkan untuk dilancarkan secara rasmi pada Jumaat, 3 Julai 2026, di semua platform penstriman digital.










