Havertz, Sane hancurkan kebangkitan AS

Havertz, Sane hancurkan kebangkitan AS

KAI Havertz cuba merampas bola dari pemain Amerika Syarikat(AS) pada aksi persahabatan di Stadium Soldier Field, awal pagi tadi.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHICAGO: Jerman menutup tirai persiapan menjelang Piala Dunia dengan kemenangan bergaya apabila menundukkan Amerika Syarikat (AS) 2-1 dalam aksi persahabatan berintensiti tinggi di Stadium Soldier Field, awal pagi tadi.

Dua nama berpengalaman, Kai Havertz dan Leroy Sane muncul watak utama kemenangan skuad Die Mannschaft, namun tuan rumah turut memberi amaran bahawa mereka bukan sekadar pelengkap jadual pada temasya terbesar bola sepak dunia itu.

Jerman tidak menunggu lama untuk memecahkan kebuntuan apabila Havertz menanduk masuk hantaran tepat Joshua Kimmich menerusi sepakan percuma seawal minit kedua permainan.

Gol pantas itu jelas menggugat rentak AS yang bergelut mencari kestabilan, malah hampir dihukum buat kali kedua apabila Havertz sekali lagi menjaringkan gol, namun dibatalkan akibat ofsaid.

Ketika Jerman dilihat menguasai permainan, AS bangkit memperagakan aksi lebih bertenaga menerusi gandingan Tyler Adams dan Weston McKennie yang mula mendominasi bahagian tengah.

Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-37 apabila sepakan penjuru Christian Pulisic gagal disapu kemas pertahanan Jerman sebelum Antonee Robinson meledak rembatan padu dari luar kotak penalti untuk mengikat kedudukan.

Gol tersebut menyuntik semangat baharu kepada skuad kendalian Mauricio Pochettino yang tampil lebih agresif dan hampir menambah jaringan menerusi Pulisic serta Sergino Dest sebelum rehat.

Bagaimanapun, Jerman membuktikan mengapa mereka masih dianggap antara pencabar utama Piala Dunia apabila kembali menguasai permainan pada babak kedua.

Pada minit ke-57, Havertz sekali lagi memainkan peranan penting apabila mencipta ruang buat Sane yang melepaskan rembatan rendah.

Bola yang terkena pemain lawan mengelirukan penjaga gol Matt Freese sebelum menerjah jaring untuk gol kemenangan pasukan pelawat.

Kedua-dua pasukan kemudian memperlahankan tempo dengan beberapa pertukaran dilakukan bagi mengelakkan kecederaan menjelang kempen Piala Dunia.

Jerman hampir melebarkan jurang menerusi percubaan jarak jauh Nadiem Amiri, manakala Brenden Aaronson memaksa Oliver Baumann bekerja keras mempertahankan kelebihan pasukannya.

AS akan memulakan cabaran Kumpulan D menentang Paraguay minggu depan sebelum berdepan Australia dan Turkiye, manakala Jerman membuka kempen Kumpulan E bertemu Curacao diikuti Ivory Coast serta Ecuador.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN