SUBANG JAYA: Pemenang Terbuka Indonesia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani masih dahagakan kejuaraan yang lebih besar, walaupun, telah merangkul semua gelaran dalam Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Gandingan No. 6 dunia itu telahpun memenangi kesemua kejohanan berstatus Super 100, 300, 500, 750 dan 1,000, cuma gelaran dunia serta pingat Sukan Olimpik yang tiada lagi dalam koleksi mereka.
Sze Fei berkata, sebagai pemain, dia dan Izzuddin perlu kekal dahagakan gelaran untuk mengejar kejayaan yang lebih besar di pentas antarabangsa.
“Saya rasa kita tak sasarkan untuk kejohanan-kejohanan tertentu. Kita tak boleh mudah berpuas hati dengan pencapaian yang ada.
“Kena kekal dahaga untuk memenangi lebih banyak kejohanan. Masih banyak lagi kejohanan utama yang kita tak pernah dapat,” katanya selepas menghadiri Klinik Badminton Anjuran AIA Vitality di sini, hari ini.
Izzuddin pula menjelaskan, fokus mereka selepas ini ialah Terbuka Jepun dan juga Kejohanan Dunia yang berlangsung di India, Ogos ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai peranan syarikat korporat dalam karier mereka sebagai beregu profesional, Izzuddin berkata, sumbangan dalam bentuk penajaan amat penting untuk atlet profesional seperti mana yang AIA lakukan.
“Saya harap banyak lagi syarikat swasta membuka peluang ini bukan hanya kepada kami tetapi juga untuk atlet-atlet profesional lain,” ujarnya.
Izzuddin berharap, sokongan yang diberi bukan hanya kepada pemain handalan dunia, tetapi, juga kepada bakat-bakat muda yang hendak mengembangkan karier masing-masing dalam bidang sukan.
“Atlet-atlet ini ada bakat, tetapi cuma mereka tiada sokongan dalam bentuk penajaan yang membantu mereka untuk pergi ke kejohanan-kejohanan di luar,” katanya.-UTUSAN










