BOSTON: England dan Ghana bakal turun dengan misi merebut tiket ke pusingan kalah mati dalam aksi kedua Kumpulan L Piala Dunia 2026 di Boston, esok.
Skuad kendalian Thomas Tuchel hadir dengan reputasi meyakinkan selepas membenam Croatia 4-2, namun kemenangan itu turut memperlihatkan kelemahan di benteng pertahanan yang perlu segera diperbaiki jika mahu muncul pencabar serius kejuaraan.
Harry Kane terus menjadi sandaran utama England pada penampilan Piala Dunia ketiganya, dibantu barisan pemain berprofil tinggi seperti Jude Bellingham, Declan Rice dan Bukayo Saka, selain bakat muda Kobbie Mainoo serta Morgan Rogers.
Kane, Bellingham dan Marcus Rashford masing-masing menemui jaringan ketika menewaskan Croatia, sekali gus membuktikan pendekatan lebih menyerang yang diterapkan Tuchel mula membuahkan hasil.
Bagaimanapun, Tuchel mengakui England tidak boleh terlalu selesa kerana Ghana juga memiliki reputasi besar di pentas dunia.
“Ini kumpulan yang sukar dengan kehadiran Croatia dan Ghana. Kedua-duanya pasukan yang sering beraksi di Piala Dunia serta memiliki semangat juang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Ghana hadir tanpa tekanan tetapi sarat dengan keyakinan selepas menewaskan Panama 1-0 menerusi jaringan lewat permainan yang membawa mereka semakin hampir ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak 2010.
Lebih menggembirakan, kapten mereka, Thomas Partey dijangka kembali memperkuatkan pasukan selepas terlepas aksi pembukaan menentang Panama di Toronto susulan isu kemasukan ke Kanada.
Di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman, Carlos Queiroz, Ghana membentuk identiti permainan yang berdisiplin dengan serangan balas pantas, sesuatu yang mampu mengundang masalah buat England.
The Black Stars juga bukan nama asing di Piala Dunia apabila pernah mencipta sejarah mara ke suku akhir pada edisi 2010, pencapaian terbaik wakil Afrika ketika itu.
Kemenangan ke atas England bukan sahaja menjamin tiket awal ke pusingan kalah mati, malah bakal menjadi antara detik paling bersejarah dalam bola sepak Ghana.
“Kami perlu bersedia untuk menderita kerana tiada jalan mudah di Piala Dunia.Setiap kemenangan sangat mahal harganya, tetapi pemain-pemain saya bersedia untuk membayar harga itu,” kata Queiroz.-AGENSI










