Dua gol Pepe bantu Ivory Coast 'tulis' sejarah baharu

Dua gol Pepe bantu Ivory Coast ‘tulis’ sejarah baharu

PEMAIN Ivory Coast, Nicolas Pepe melepaskan rembatan untuk gol kedua peribadinya ketika berdepan Curacao di Stadium Philadelphia, hari ini.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHILADELPHIA: Dua gol jaringan penyerang berpengalaman, Nicolas Pepe membantu Ivory Coast melakar sejarah baharu apabila menewaskan Curacao 2-0 dalam aksi terakhir Kumpulan E Piala Dunia, sekali gus mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama.

Pepe membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh sebelum menambah gol kedua pada minit ke-64 untuk memastikan skuad The Elephants menamatkan saingan kumpulan dengan kemenangan bergaya.

Tiga mata berharga itu membolehkan Ivory Coast mengumpul enam mata dan muncul naib juara Kumpulan E di belakang Jerman, sekali gus mengesahkan tiket ke pusingan 32 terbaik.

Kejayaan tersebut mencatat sejarah tersendiri buat wakil Afrika itu yang akhirnya berjaya melepasi halangan peringkat kumpulan selepas empat penampilan di pentas Piala Dunia.

Sepanjang kempen kumpulan, Ivory Coast mempamerkan aksi yang semakin meyakinkan dan kemenangan ke atas Curacao menjadi bukti kematangan pasukan dalam menghadapi tekanan aksi wajib menang.

Bagi Curacao, kekalahan itu menutup kempen pertama mereka di Piala Dunia dengan kekecewaan apabila menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang kemenangan.

Ivory Coast kini bersedia mengharungi cabaran lebih getir apabila bakal beraksi di Dallas, Selasa depan, menentang naib juara Kumpulan I yang hanya akan ditentukan selepas tamat aksi terakhir kumpulan berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN