CARACAS: Seorang lelaki dan anaknya yang masih remaja berjaya dikeluarkan dari runtuhan semalam, hampir empat hari selepas dua gempa bumi melanda Venezuela, menurut laporan wartawan AFP di kawasan yang terjejas teruk itu.
Pasukan penyelamat dari Amerika Syarikat (AS) dan Perancis membawa keluar kedua-dua mangsa dari timbunan serpihan menggunakan pengusung, dengan mereka dilaporkan keletihan dan berada dalam keadaan terkejut.
Remaja itu dikeluarkan terlebih dahulu dalam keadaan berdebu, dengan kesan darah pada lutut kanan serta tangan kanan berbalut.
Bapanya kemudian dibawa keluar tidak lama selepas itu, turut dipenuhi debu dan hanya memakai sehelai kain, manakala sebuah alat perubatan dilihat dipasang pada tubuhnya ketika dibawa ke tempat selamat.
Pasukan kecemasan bersama anjing pengesan terus giat mencari mangsa yang masih terselamat pada Ahad selepas dua gempa bumi kuat melanda Venezuela, dengan angka korban dilaporkan melebihi 1,450 orang dan hampir 200 bangunan runtuh sepenuhnya.
Puluhan ribu orang masih dilaporkan hilang, ketika tempoh kritikal 72 jam untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap kini berlalu.
Pada masa sama, jutaan penduduk dipercayai berdepan kekurangan kemudahan asas seperti sanitasi dan keperluan penting lain susulan bencana gempa bumi paling dahsyat dalam sejarah Amerika Latin.
Pasukan penyelamat dari AS, Mexico dan beberapa negara lain bergegas menjalankan operasi menyelamat ketika penduduk yang terdesak menggali runtuhan menggunakan tangan bagi mencari ahli keluarga yang terperangkap di bawah timbunan bangunan pangsapuri yang runtuh.
Kira-kira 774 bangunan mengalami kerosakan teruk akibat dua gempa bumi berturut-turut 7.2 dan 7.5 skala Richter yang melanda pada malam Rabu, termasuk 189 bangunan yang runtuh sepenuhnya, menurut Presiden Dewan Negara, Jorge Rodríguez pada Ahad.
Pakar berkata, tempoh 72 jam pertama selepas bencana alam merupakan tempoh kritikal bagi menyelamatkan mangsa yang masih hidup, sebelum usaha pencarian biasanya beralih kepada operasi mengeluarkan mayat.
Ketika usaha menyelamat terus dijalankan, kejadian rompakan dilaporkan berlaku di La Guaira, yang kini sebahagian besarnya musnah selepas bencana gempa bumi pada Rabu lalu.
Penduduk berkata farmasi, pasar raya dan beberapa premis perniagaan lain dirompak, dengan sebahagian mereka mengadu bantuan pascagempa daripada pihak berkuasa disalurkan secara perlahan dan tidak mencukupi.










