Croatia, Panama buru talian hayat

Croatia, Panama buru talian hayat

Petar Musa menjadi harapan Croatia untuk merobek gawang Panama, esok.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TORONTO: Croatia dan Panama berdepan aksi hidup mati di Stadium Toronto, esok dengan kedua-dua pasukan memburu tiga mata bagi memastikan terus ‘bernyawa’ dalam Kumpulan L.

Panama yang tewas 0-1 kepada Ghana dalam aksi pembukaan memburu kemenangan pertama mereka di pentas Piala Dunia dan kini berdepan tugas getir untuk bangkit.

Anak buah Thomas Christiansen sebenarnya tampil meyakinkan ketika menentang Ghana, namun penyudah tumpul menghukum mereka.

“Keputusan ini (kekalahan kepada Ghana) menyakitkan kerana kami berhak mendapat sesuatu daripada perlawanan itu,” kata Christiansen.

Bagi menghidupkan peluang mara, Panama perlu lebih tajam di hadapan gawang ketika menentang Croatia yang turut terdesak selepas dibelasah England 2-4 di Stadium Dallas.

Kekalahan itu menyaksikan pengendali Croatia, Zlatko Dalic, mengakui pasukannya tidak lagi mempunyai ruang untuk melakukan kesilapan.

“Sangat penting untuk kami bangkit selepas kekalahan ini. Kami tidak mempunyai hak untuk melakukan kesilapan lagi,” katanya.

Dalic turut mengkritik benteng pertahanan pasukannya yang dianggap lemah ketika berdepan situasi bola mati selepas dua gol England hadir menerusi sepakan sudut.

Croatia yang muncul tempat ketiga pada penampilan sulung mereka pada 1998 selain bergelar naib juara pada 2018 dan tempat ketiga pada 2022, dijangka sekali lagi bergantung kepada ketajaman Petar Musa di jentera serangan.

Jika Croatia tewas dan Ghana menewaskan England, skuad Dalic akan tersingkir lebih awal. Panama pula bakal mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan sekiranya mereka tewas sambil England mengatasi Ghana.

Justeru, aksi di Toronto bukan sekadar perebutan tiga mata, sebaliknya pertarungan mempertahankan maruah dan talian hayat untuk terus kekal di pentas terbesar bola sepak dunia.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN