City sanggup bayar RM760 juta demi Anderson

City sanggup bayar RM760 juta demi Anderson

PEMAIN tengah England, Elliot Anderson bakal sertai Manchester City musim depan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Manchester City dilaporkan bersedia memecahkan rekod perpindahan Britain apabila difahamkan telah mencapai persetujuan dengan Nottingham Forest untuk mendapatkan khidmat pemain tengah England, Elliot Anderson, dalam urus niaga yang dianggarkan bernilai sehingga 130 juta pound (RM760.3 juta).

Menurut laporan media tempatan termasuk Press Association (PA) dan BBC, nilai perpindahan itu bakal mengatasi rekod semasa Britain sebanyak 125 juta pound (RM731 juta) yang dibayar Liverpool bagi mendapatkan penyerang Sweden, Alexander Isak, daripada Newcastle United tahun lalu.

City sebelum ini dikatakan mengemukakan dua tawaran yang ditolak Forest sebelum kedua-dua kelab mencapai kata sepakat mengenai nilai perpindahan pemain berusia 23 tahun itu.

Anderson ketika ini berada di Amerika Syarikat bersama skuad England bagi menghadapi kempen Piala Dunia 2026, namun perpindahan tersebut dijangka dimuktamadkan sebelum kejohanan berakhir.

Bagaimanapun, pemain itu menegaskan fokus utamanya ketika ini adalah membantu England dan bukan memikirkan spekulasi mengenai masa depannya di peringkat kelab.

“Ia agak mudah. Saya hanya fokus kepada apa yang sedang berlaku sekarang dan mengetepikan segala spekulasi luar. Saya mempunyai satu pelan iaitu memberikan aksi terbaik buat England,” katanya kepada BBC Sport.

Anderson menjadi antara tonggak penting skuad kendalian Thomas Tuchel apabila diturunkan dalam kesebelasan utama ketika England menewaskan Croatia 4-2 dan seri tanpa jaringan dengan Ghana dalam dua aksi awal Kumpulan L.

England dijadualkan menentang Panama dalam perlawanan terakhir kumpulan di New Jersey esok dengan kemenangan atau keputusan seri sudah memadai untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan 32 terbaik.

Tuchel sebelum ini menyifatkan Anderson sebagai pemain tengah yang ‘lengkap’ dan percaya spekulasi perpindahan bernilai tinggi itu tidak akan menjejaskan tumpuan pemain berkenaan sepanjang kempen Piala Dunia.

City mengakhiri saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu di tangga kedua di belakang Arsenal dalam musim terakhir Pep Guardiola mengendalikan pasukan, namun masih berjaya meraih trofi Piala FA dan Piala Liga.

Nottingham Forest pula menamatkan musim di kedudukan ke-16 selepas mengharungi kempen yang tidak konsisten, terutama pada penghujung saingan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN