Cannavaro akui piala dunia terlalu kejam

Cannavaro akui piala dunia terlalu kejam

FABIO Cannavaro-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATLANTA: Pengendali Uzbekistan, Fabio Cannavaro mengakui Piala Dunia merupakan kejohanan yang amat kejam selepas anak buahnya pulang awal tanpa sebarang mata apabila tewas ketiga-tiga aksi Kumpulan K.

Bekas kapten Itali yang pernah menjulang trofi berprestij itu menyaksikan Uzbekistan tumpas 3-1 kepada Republik Demokratik Congo (DR Congo) dalam perlawanan terakhir, selepas sebelum itu dibelasah Colombia dan Portugal.

Walaupun tersingkir tanpa sebarang mata, Cannavaro enggan menyalahkan pemainnya, sebaliknya menyifatkan skuad muda itu sudah memberikan segala-galanya di atas padang.

“Anda fikir saya tidak gementar atau marah? Saya juga tidak suka kalah,” katanya.

Beliau menegaskan kekalahan itu berpunca daripada kesilapan sendiri serta tekanan mental apabila kelebihan awal gagal dimanfaatkan.

“Kami melakukan beberapa kesilapan, tetapi saya tidak akan menyalahkan pemain. Sejak hari pertama, saya sudah katakan Piala Dunia ini sangat kejam,” jelasnya.

Uzbekistan sempat mencipta sejarah apabila kapten, Eldor Shomurodov menjaringkan gol pertama negara itu di pentas Piala Dunia, namun kelebihan tersebut tidak bertahan lama apabila mereka dihukum tiga gol lewat permainan.

Cannavaro turut mengakui pemainnya hilang keyakinan selepas mendahului perlawanan.

“Rasa takut untuk menang mula menguasai mereka. Saya sudah beri arahan pada rehat untuk bermain lebih agresif, naikkan tempo dan cari ruang di belakang pertahanan lawan,” katanya.

Namun, beliau kecewa apabila pemain terlalu kerap kehilangan bola dalam situasi berisiko, sekali gus membuka ruang kepada lawan.

Dalam masa sama, Cannavaro menegaskan Uzbekistan perlu terus memperkukuh pembangunan akar umbi jika mahu bersaing di pentas tertinggi dunia.

“Kami perlu sedar bola sepak Uzbekistan masih perlu dipertingkatkan. Pelaburan dalam akademi dan pemain muda adalah kunci jika mahu kembali ke Piala Dunia dalam 20 hingga 30 tahun akan datang,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN