Ben-Gvir hasut Israel langgar gencatan senjata Lubnan

Ben-Gvir hasut Israel langgar gencatan senjata Lubnan

Gambar fail Itamar Ben-Gvir - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, menggesa gencatan senjata di Lubnan ditamatkan selepas empat anggota tentera Israel cedera di selatan negara itu.

“Ada anggota tentera yang cedera. Kita boleh melancarkan serangan dan mengebom ratusan sasaran,” kata Ben-Gvir, merujuk kepada insiden pada Khamis yang menyebabkan empat anggota tentera Israel cedera di selatan Lubnan, lapor akhbar Yedioth Ahronoth semalam.

Dalam mesyuarat Kabinet Keselamatan kelmarin, menteri berhaluan ekstrem itu menyifatkan insiden berkenaan sebagai ‘peluang untuk perjanjian gencatan senjata itu runtuh’.

Walaupun pendiriannya dilaporkan tidak mendapat sokongan dalam mesyuarat itu, beberapa menteri lain dilaporkan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sekatan operasi yang dikenakan ke atas tentera Israel di bawah perjanjian gencatan senjata di Lubnan.

Kenyataan itu dibuat ketika media melaporkan Amerika Syarikat (AS) memberi tekanan kepada Israel supaya mengelakkan peningkatan konflik, sementara rundingan antara delegasi Lubnan dan Israel masih berlangsung di Washington.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memaklumkan kepada anggota Kabinet bahawa AS memahami hak Israel untuk mempertahankan diri.

“Setiap ancaman yang berlaku ditangani segera oleh anggota tentera di lapangan, dan kami tidak mengenakan sebarang sekatan terhadap mana-mana anggota tentera,” kata Netanyahu.

Semalam, tentera Israel memaklumkan seorang pegawai cedera, manakala seorang lagi pegawai serta dua anggota tentera cedera ringan selepas seorang pejuang Hizbullah membaling bom tangan ke arah pasukan Israel di selatan Lubnan.

Akhbar Yedioth Ahronoth melaporkan, penyerang itu menghampiri anggota Briged ke-769 berhampiran Beit Yahoun sebelum membaling bom tangan, namun kemudiannya ditembak mati oleh tentera Israel.

Media Israel sejak kebelakangan ini berulang kali melaporkan tekanan yang semakin meningkat daripada AS terhadap Israel supaya mengelakkan peningkatan ketenteraan di Lubnan.

Keadaan itu turut menyumbang kepada perbezaan pendirian antara Washington dan Tel Aviv susulan persefahaman yang dicapai antara AS dan Iran.

Pada 18 Jun lalu, AS dan Iran menandatangani Memorandum Persefahaman Islamabad sebelum memulakan rundingan pada 21 Jun bagi mencapai perjanjian muktamad untuk menamatkan perang yang tercetus susulan serangan bersama AS dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari.

Rangka kerja perjanjian itu turut merangkumi konflik di Lubnan.

Jabatan Negara AS mengumumkan pusingan kelima rundingan antara Lubnan dan Israel di Washington dilanjutkan sehari lagi selepas pada asalnya dijadualkan berakhir pada Khamis.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×