SANTA CLARA: Australia mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 selepas mengakhiri aksi terakhir Kumpulan D menentang Paraguay, dengan keputusan 0-0, hari ini.
Keputusan seri itu sudah mencukupi buat skuad Socceroos mara ke pusingan 32 terbaik, manakala Paraguay terpaksa menanti penuh mendebarkan bagi mengetahui nasib mereka menerusi kuota lapan pasukan tempat ketiga terbaik.
Perlawanan di Stadium Levi’s itu berlangsung dalam tempo yang agak perlahan dan kerap terganggu ekoran siri terjahan keras serta ketumpulan jentera serangan kedua-dua pasukan di hadapan gawang.
Bagaimanapun, Australia dilihat lebih banyak mencipta peluang berbahaya antaranya menerusi Cristian Volpato dan Jackson Irvine, namun percubaan mereka berjaya dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol Paraguay.
Pertahanan Australia, Jordan Bos hampir mencetak nama sebagai penjaring namun dua percubaan derasnya pada penghujung perlawanan hanya tersasar sedikit.
Di kem Paraguay, skuad Amerika Selatan itu hanya memperoleh satu peluang terbaik pada saat-saat akhir menerusi Mauricio Magalhaes, namun ia mudah diselamatkan oleh penjaga gol Australia, Patrick Beach.
Pemain muda berbakat, Julio Enciso menjadi satu-satunya ‘senjata’ Paraguay dalam perlawanan ini apabila larian pantas serta gerakan individunya beberapa kali berjaya mencemaskan benteng pertahanan Australia namun tiada jaringan dihasilkan.
Sebagai rekod, slot juara Kumpulan D terlebih dahulu disambar oleh pasukan tuan rumah, Amerika Syarikat (AS), manakala Turkiye sah tersingkir dari kejohanan.
Kejayaan ini turut menyaksikan Australia berjaya melangkah ke pusingan kalah mati buat kali ketiga dalam tujuh penampilan mereka sepanjang sejarah kejohanan Piala Dunia.-AFP










