Artan tetap terima bayaran penuh FIFA

Artan tetap terima bayaran penuh FIFA

Omar Abdulkadir Artan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI: Pengadil Somalia, Omar Abdulkadir Artan yang dihalang daripada memasuki Amerika Syarikat (AS) untuk bertugas pada kejohanan Piala Dunia 2026 akan tetap menerima bayaran penuh daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut laporan media antarabangsa, Artan yang tiba di Miami menerusi penerbangan dari Istanbul pada 6 Jun lalu telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut sebelum akhirnya dinafikan kemasukan oleh pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP).

Dalam satu kenyataan, CBP memaklumkan pemeriksaan tambahan dilakukan sebagai sebahagian daripada prosedur rutin bagi mengesahkan maklumat dan menentukan kelayakan seseorang untuk memasuki negara berkenaan.

“Selepas pemeriksaan dijalankan, pengembara tersebut yang juga pengadil Piala Dunia FIFA didapati tidak layak memasuki negara ini atas faktor kebimbangan berkaitan proses tapisan keselamatan dan kemasukannya telah ditolak,” menurut kenyataan itu.

Artan, 34, merupakan antara pengadil paling berpengaruh di Afrika selepas dinobatkan sebagai Pengadil Terbaik 2025 oleh Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF).

Dia sebelum ini pernah mengendalikan dua kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) selain diberi kepercayaan mengadili perlawanan akhir utama peringkat benua apabila mengendalikan aksi kedua final Liga Juara-Juara CAF 2025 antara Pyramids FC dari Mesir dan Mamelodi Sundowns dari Afrika Selatan di Kaherah pada 1 Jun lalu.

Meskipun berdepan episod mengecewakan apabila gagal memasuki AS, karier Artan terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dilaporkan telah memilih Artan untuk mengadili perlawanan Piala Super UEFA yang akan berlangsung di Salzburg, Austria pada 12 Ogos depan.

Pelantikan itu dilihat sebagai tanda keyakinan badan induk bola sepak Eropah terhadap kemampuan dan kredibiliti Artan sebagai antara pengadil terbaik yang sedang meningkat naik di pentas antarabangsa. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN