MADRID: Real Madrid berdepan episod panas menjelang aksi El Clasico apabila dua tonggak tengahnya, Federico Valverde dan Aurélien Tchouaméni, terlibat dalam pertengkaran di pusat latihan Valdebebas semalam.
Kelab gergasi Sepanyol itu mengesahkan prosiding disiplin sudah dibuka terhadap kedua-dua pemain selepas insiden yang menyebabkan Valverde mengalami kecederaan di muka sehingga memerlukan rawatan hospital.
Menurut laporan media Sepanyol, pemain Uruguay berusia 27 tahun itu dibawa ke hospital berhampiran kompleks latihan oleh jurulatih, Álvaro Arbeloa, selepas mengalami luka di bahagian dahi yang memerlukan jahitan.
Madrid memaklumkan Valverde berada dalam keadaan stabil namun perlu berehat sehingga dua minggu, sekali gus mengetepikannya daripada aksi El Clasico menentang Barcelona awal pagi Isnin ini.
Perlawanan itu cukup penting kerana Barcelona kendalian Hansi Flick hanya memerlukan keputusan positif untuk semakin hampir mengesahkan kejuaraan La Liga.
Bagaimanapun, Valverde menafikan berlaku pergaduhan serius seperti digembar-gemburkan media.
“Situasi tegang ketika latihan menyebabkan keadaan sedikit emosional. Saya terlanggar meja ketika pertengkaran dan mengalami luka kecil.
“Tiada siapa memukul saya dan saya juga tidak memukul sesiapa,” katanya menerusi media sosial.
Akhbar Sepanyol melaporkan ketegangan antara Valverde dan Tchouaméni sebenarnya sudah bermula sejak sesi latihan Rabu sebelum memuncak sehari kemudian.
Malah, kedua-duanya dikatakan terus bertengkar sehingga ke bilik persalinan selepas tamat latihan.
Insiden itu hadir ketika tekanan semakin memuncak di kem Madrid yang kini ketinggalan jauh dalam perebutan takhta La Liga dan berisiko menamatkan musim tanpa trofi utama buat kali kedua berturut-turut.-AGENSI










