LIVERPOOL: Pengendali Liverpool, Arne Slot mengakui misi pasukannya kini beralih kepada mencapai kedudukan tertinggi liga selepas kejuaraan terlepas daripada genggaman.
Menjelang aksi getir menentang musuh tradisi, Manchester United di Old Trafford, malam ini, Slot menyifatkan setiap perlawanan itu ibarat “final” dalam usaha memburu tiket ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
“Setiap perlawanan memberi kesan kepada kedudukan liga. Bukan hanya ketika bertemu United, tetapi setiap minggu.
“Namun, kami sedar ini perlawanan besar, lebih-lebih lagi dalam usaha melayakkan diri ke Liga Juara-Juara dan menamatkan musim di posisi terbaik,” katanya.
Ketika ini, Liverpool menghuni tangga keempat dengan 58 mata, berkongsi mata dengan Aston Villa, namun dibezakan menerusi kelebihan jaringan.
Slot turut mengakui peningkatan konsistensi United di bawah kendalian Michael Carrick, yang kini berada di tangga ketiga liga.
“Sejak musim lalu, saya sudah lihat kualiti mereka. Tetapi kini ia lebih terserlah dalam keputusan.
“Mereka semakin konsisten dan kedudukan liga mencerminkan kekuatan sebenar pasukan itu,” ujarnya.
Dalam masa sama, Slot tidak berselindung mengenai kelemahan utama pasukannya musim ini terutama ketumpulan di hadapan gol.
Ketiadaan penyerang prolifik, Mohamed Salah yang tidak cergas untuk aksi malam ini, jelas memberi kesan, namun kepulangan Alexander Isak sedikit sebanyak melegakan.-AGENSI










