Roket Blue Origin meletup ketika ujian di Florida

Roket Blue Origin meletup ketika ujian di Florida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FLORIDA: Roket New Glenn milik Blue Origin meletup semasa ujian di tapak pelancaran di Cape Canaveral, Florida pada Khamis, namun pihak syarikat mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu.

“Kami mengalami satu anomali semasa ujian api panas hari ini,” kata syarikat itu dalam kenyataan ringkas di platform X, sambil menambah semua kakitangan dikenal pasti berada dalam keadaan selamat.

Rakaman insiden menunjukkan asap keluar dari bahagian bawah roket setinggi 98 meter itu sebelum ia meletup dan menghasilkan bebola api besar.

Letupan itu menjadi tamparan terbaharu kepada syarikat penerokaan angkasa milik bilionair Jeff Bezos, dengan roket New Glenn dianggap sebagai teras utama cita-cita angkasa lepas syarikat berkenaan.

“Masih terlalu awal untuk mengetahui punca sebenar tetapi kami sudah mula menjalankan siasatan,” kata Bezos di platform X sejurus selepas kejadian.

“Hari yang sangat sukar, tetapi kami akan membina semula apa yang perlu dan kembali melakukan penerbangan. Ia berbaloi.”

Elon Musk, pengasas syarikat pesaing Blue Origin iaitu SpaceX, turut menyampaikan ucapan simpati dan menyifatkan kemalangan itu sebagai ‘amat malang’.

Ahli Kongres Florida, Mike Haridopolos yang mewakili kawasan Cape Canaveral berkata beliau telah berhubung dengan Pentadbir Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Jared Isaacman susulan letupan roket itu.

“Saya bersyukur tiada kecederaan dilaporkan dan berterima kasih kepada pasukan kecemasan, jurutera serta kru pelancaran yang bertindak pantas,” katanya dalam kenyataan di platform X.

NASA dan Blue Origin sebelum ini bekerjasama membangunkan modul pendaratan bulan bagi misi Artemis ke bulan.

Isaacman pula berkata, NASA menyedari insiden letupan tersebut.

“Penerbangan angkasa lepas bukan sesuatu yang mudah dan pembangunan keupayaan pelancaran roket berat baharu amat mencabar,” katanya di X.

“Kami akan bekerjasama dengan rakan strategik untuk menyokong siasatan menyeluruh terhadap insiden ini, menilai kesan terhadap misi terdekat dan kembali melancarkan roket.”

Bulan lalu, roket New Glenn gagal menyempurnakan misi menghantar satelit komunikasi ke orbit yang betul, sekali gus mencetuskan siasatan.

Walaupun syarikat itu berjaya menggunakan semula dan mendapatkan kembali penggalak roket New Glenn, misi tanpa kru tersebut gagal menghantar satelit milik AST SpaceMobile ke orbit yang sepatutnya.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×