Pemandu van ditahan bantu siasatan murid maut dilanggar depan sekolah - Utusan Malaysia

Pemandu van ditahan bantu siasatan murid maut dilanggar depan sekolah

TANGKAP layar rakaman video tular memaparkan seorang murid perempuan dipercayai maut akibat dirempuh sebuah van di SK Parit Mainon, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Seorang pemandu van ditahan polis bagi membantu siasatan membabitkan seorang kanak-kanak perempuan yang maut dirempuh kenderaan terbabit di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, di sini, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan maut itu berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika mangsa yang berusia 8 tahun sedang berjalan kaki di hadapan pintu pagar sekolah.

Katanya, siasatan awal mendapati van dipandu lelaki tempatan berusia 60 tahun tersebut baharu selesai menghantar barangan di dalam kawasan sekolah.

“Ketika melalui pintu pagar utama sekolah, kenderaan tersebut dipercayai melanggar mangsa yang berada di laluan hadapan pintu pagar.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta organ dalaman dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan dari Klinik Kesihatan Parit Sulong,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Tambah beliau, pemandu van berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan namun ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Mangsa, yang dikenali sebagai Nur Aini Umairah Mohd Fareez selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Parit Mustaffa, dekat Parit Sulong, malam tadi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN