Netanyahu arah tentera Israel rampas 70 peratus Gaza

Netanyahu arah tentera Israel rampas 70 peratus Gaza

SEORANG penunjuk perasaan memegang sepanduk menggambarkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semasa perarakan pro-Palestin di tengah London.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan tentera untuk memperluaskan penguasaan dengan menyasarkan merampas 70 peratus daripada wilayah Gaza, ketika penduduknya makin bergelut menghadapi sekatan.

Israel dilaporkan menguasai sekitar 64 peratus daripada wilayah pesisir pantai berkenaan yang kini musnah akibat serangan ketenteraan Israel selama dua tahun susulan serangan rentas sempadan pada Oktober 2023.

Di bawah perjanjian gencatan senjata dipimpin Amerika Syarikat (AS) pada Oktober lalu yang gagal menghentikan serangan, tentera Israel sepatutnya berundur ke penanda ‘Garisan Kuning’ yang mengehadkan kawasan kawalan mereka.

Berdasarkan peta ketenteraan, garisan tersebut meletakkan Israel menguasai sekitar 53 peratus wilayah Gaza manakala selebihnya ditadbir oleh Hamas.

Bagaimanapun, laporan Reuters mendedahkan Israel mengalihkan blok-blok konkrit yang menandakan Garisan Kuning tersebut serta menceroboh jauh ke dalam wilayah yang dikuasai Hamas.

Peta yang dikeluarkan oleh pihak tentera pada Mac lalu menunjukkan zon larangan yang lebih luas, di mana penganalisis menyifatkan ia mengepung kira-kira 64 peratus daripada keseluruhan wilayah Gaza.

Netanyahu dalam beberapa kenyataan awam sebelum ini berulang kali menegaskan tenteranya kini menguasai lebih 60 peratus wilayah Gaza.

Bercakap dalam satu persidangan di sebuah penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki, pemimpin Israel itu menegaskan lebih banyak wilayah Gaza akan dirampas.

“Kita bermula dengan 50 peratus, kemudian meningkat ke 60 peratus. Arahan saya sekarang adalah untuk bergerak, mari kita lakukan langkah demi langkah.

“Pertama sekali, 70 peratus. Kita mulakan dengan itu. Kita sedang menekan mereka (Hamas) dari semua arah. Kita akan selesaikan baki-baki yang tinggal,” kata Netanyahu pada Khamis.

Netanyahu menyifatkan wilayah yang dirampas oleh Israel di Gaza, Syria dan Lubnan sebagai zon penampan bagi menyekat potensi serangan kumpulan pejuang susulan peristiwa 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang Gaza.

Sebaliknya, penduduk Palestin melihat peluasan zon penampan oleh Israel di Gaza sebagai sebahagian daripada strategi untuk mengusir mereka secara kekal. Kebimbangan ini diperkukuhkan lagi oleh kenyataan menteri-menteri kanan Israel, termasuk Menteri Pertahanan Israel Katz yang secara terbuka menyatakan hasrat untuk menggalakkan penghijrahan secara sukarela penduduk keluar dari Gaza.

Sementara itu, pegawai kesihatan Gaza melaporkan satu lagi serangan udara pada malam Rabu yang didakwa Israel menyasarkan dua pemimpin Hamas yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang awam termasuk lima kanak-kanak serta mencederakan 18 yang lain.

Serangan maut tersebut berlaku ketika umat Islam di Palestin sedang menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha yang diraikan dalam suasana pilu di khemah-khemah pelarian dan runtuhan bangunan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN