ISKANDAR PUTERI: Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) sedia menjadi orang tengah untuk merungkai kemelut dan perselisihan yang sedang berlaku antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
Presidennya, S. P. Punithan berkata, langkah itu perlu diambil bagi memastikan perkara tersebut tidak menjejaskan keyakinan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, perselisihan yang berlaku antara kedua-dua parti berkenaan hanyalah melibatkan isu kecil yang boleh diselesaikan secara harmoni.
“Saya lihat banyak kenyataan dikeluarkan individu daripada kedua-dua parti, Pas dan Bersatu. Tetapi kenyataan itu bukan daripada kepimpinan tertinggi mereka. Di peringkat atas, suasana dan kerjasama adalah sangat baik dan harmoni.
“Mungkin ada isu-isu yang timbul tetapi kami rasa ia boleh dibincangkan. Sebagai Timbalan Pengerusi PN, saya anjurkan kedua-dua pihak agar duduk berbincang berkenaan senario yang sedang berlaku.
“Kita tidak mahu lihat ada isu berbangkit dalam gabungan ini sehingga mengikis kepercayaan masyarakat kepada PN, jadi MIPP akan ambil pendekatan sebagai orang tengah,” katanya dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Negeri MIPP di Hotel Sunway Big Box, di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa MIPP Johor, Dr. S. Saswin.
Terdahulu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari memberi bayangan bahawa Pas dan Bersatu perlu bergerak secara berasingan menjelang pilihan raya akan datang.
Menurut beliau, keputusan itu susulan kenyataan seorang pemimpin Bersatu di Melaka yang membuat kenyataan menyindir Pas.










