MANCHESTER: Bintang muda Manchester United, Kobbie Mainoo menandatangani kontrak baharu selama lima tahun yang akan mengekalkannya di Old Trafford hingga 2031.
Perjanjian itu menyaksikan pemain berusia 21 tahun itu meraih gaji lumayan mencecah 150,000 pound seminggu (RM810,000), peningkatan ketara berbanding kontrak lamanya.
Pada Januari lalu, Mainoo pernah dikaitkan dengan perpindahan keluar secara pinjaman ketika era pengurusan Ruben Amorim, namun perpindahan itu tidak menjadi kenyataan.
Di bawah kendalian pengurus sementara, Michael Carrick, pemain tengah itu berjaya merebut tempat dalam kesebelasan utama dan kini menjadi antara tonggak penting skuad.
Kontrak lama Mainoo yang bernilai 25,000 pound (RM134,010) masih berbaki sehingga 2027, namun United memilih untuk mengekalkan khidmatnya dalam jangka masa panjang.
Rundingan lanjutan kontrak itu bermula sejak tahun lalu sebelum mencapai persetujuan muktamad pada Januari, menghadiahkan kenaikan gaji hampir 500 peratus yang pertama sejak Mainoo menandatangani kontrak profesional pada usia 17 tahun.
“United sentiasa menjadi rumah saya, kelab ini amat bermakna buat keluarga saya. Saya membesar melihat impak kelab ini kepada bandar dan saya menghargai tanggungjawab menyarung jersi ini.
“Perjalanan saya dari akademi hingga ke Old Trafford amat luar biasa. Saya berpeluang mengharungi impian setiap hari dan mahu terus membantu pasukan bersaing merebut trofi utama,” kata Mainoo.
Mainoo turut kembali berada dalam radar skuad kebangsaan England selepas prestasi konsistennya bersama United.
Selepas tersisih selama 18 bulan, dia kembali mendapat peluang beraksi dalam dua perlawanan persahabatan terbaru, menguatkan peluangnya untuk disenaraikan ke Piala Dunia 2026.
Prestasinya juga semakin meyakinkan apabila diturunkan dalam 13 daripada 14 aksi terakhir United, mencerminkan peranan besarnya dalam perancangan pasukan.
Menjelang musim depan, United dijangka menambah seorang lagi pemain tengah bertahan bagi memperkukuh jentera tengah, terutama selepas pemergian Casemiro secara percuma. – AGENSI










