VIENNA: Sebuah kumpulan perlindungan data terkemuka memfailkan aduan di Austria terhadap LinkedIn berhubung dakwaan penjualan data pengguna oleh platform rangkaian profesional itu.
Noyb, yang berpangkalan di Vienna, memaklumkan ia memfailkan aduan kepada Pihak Berkuasa Perlindungan Data Austria bagi pihak seorang pengguna LinkedIn yang ingin mengakses datanya.
Kumpulan itu berkata, pengguna itu menuntut respons penuh terhadap permintaan aksesnya, sambil menambah ia turut menggesa supaya denda dikenakan terhadap LinkedIn.
Menurut Noyb, platform milik Microsoft itu menggunakan alasan berkaitan perlindungan data sebagai sebab untuk tidak memenuhi permintaan akses tersebut.
Pada masa sama, Noyb mendakwa LinkedIn meminta pengguna melanggan perkhidmatan premium berbayar jika melihat siapa yang melawat halaman profil mereka.
“Orang ramai mempunyai hak untuk menerima data mereka sendiri secara percuma,” kata peguam perlindungan data Martin Baumann dari Noyb.
Menurut kumpulan itu, masih ‘tidak jelas’ sama ada amalan menjejak pelawat profil adalah sah, memandangkan syarikat tidak mendapatkan persetujuan aktif daripada pengguna.
Noyb sebelum ini memfailkan ratusan kes undang-undang yang sering mendorong tindakan daripada pihak berkuasa kawal selia terhadap syarikat teknologi besar.
Kumpulan itu mula beroperasi pada 2018 berikutan pelaksanaan Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR) oleh Kesatuan Eropah (EU), bertujuan memudahkan orang ramai mengawal cara syarikat menggunakan maklumat peribadi mereka.- AFP










