Lautan biru hitam raikan kejuaraan Scudetto ke-21 Inter

Lautan biru hitam raikan kejuaraan Scudetto ke-21 Inter

PEMAIN Inter Milan meraikan kejayaan mereka menjuarai Seria A buat kali ke-21 dalam sejarah kelab itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROME: Inter Milan kembali menguasai bola sepak Itali apabila menjulang gelaran Serie A buat kali ketiga dalam tempoh enam musim selepas menewaskan Parma 2-0, semalam.

 

Kemenangan di San Siro itu disempurnakan menerusi jaringan Marcus Thuram sebelum rehat, diikuti gol kedua oleh Henrikh Mkhitaryan pada babak kedua untuk mengesahkan kejuaraan.

 

Dengan berbaki tiga perlawanan, Inter kini selesa mendahului Napoli dengan kelebihan 12 mata, selain 15 mata di hadapan pencabar setempat, AC Milan yang menghuni tangga ketiga.

 

Suasana di Milan bertukar menjadi lautan biru hitam apabila ribuan penyokong membanjiri San Siro, manakala sambutan turut melimpah ke Duomo di Milano yang menjadi lokasi tumpuan peminat meraikan kejayaan bersejarah itu.

 

Kejayaan ini menjadi penebus kekecewaan musim lalu buat Inter di bawah kendalian Cristian Chivu yang sebelum ini dianggap kurang pengalaman di pentas tertinggi, namun berjaya membuktikan kredibilitinya.

 

“Hari ini kami semua gembira, tetapi kami tidak boleh melupakan segala usaha yang dilakukan kerana amat sukar untuk bangkit semula selepas apa yang berlaku musim lalu apabila kami gagal dalam semua pertandingan yang boleh dimenangi,” kata kapten pasukan, Lautaro Martinez.

 

Sentuhan Chivu jelas menjadi faktor utama kebangkitan Inter selepas menggantikan Simone Inzaghi, dengan kombinasi perubahan kecil serta kemasukan pemain baharu berjaya menghidupkan semula kekuatan pasukan.

 

Inter kini turut berpeluang melengkapkan musim gemilang dengan gelaran berganda sekiranya menewaskan Lazio pada final Piala Itali di Stadio Olimpico, 13 Mei ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN