TURIN: Impian Inter Milan untuk mengesahkan kejuaraan Serie A lebih awal sedikit terencat apabila mereka melepaskan kelebihan dua gol sebelum diikat 2-2 oleh Torino FC, semalam.
Mendahului selesa sejurus selepas sejam permainan menerusi dua tandukan Marcus Thuram dan Yann Bisseck, Inter dilihat berada di landasan tepat untuk membawa pulang tiga mata berharga di Turin.
Namun, kebangkitan Torino mengubah segalanya apabila Giovanni Simeone menghidupkan peluang tuan rumah pada minit ke-70, sebelum Nikola Vlasic menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti sembilan minit kemudian.
Pengurus Inter, Cristian Chivu, mengakui anak buahnya hilang fokus selepas mendahului selesa sehingga menyebabkan lawan berjaya menyamakan kedudukan.
“Apabila mendahului dua gol, anda fikir semuanya mudah dan berada dalam kawalan. Kemudian anda bolos menjadi 2-1 akibat kesilapan ketika membina serangan dari bawah dan anda mula gelisah.
“Sejujurnya keadaan boleh menjadi lebih buruk tetapi satu mata diraih masih berharga untuk kami,” kata Chivu.
Meskipun tercicir mata, keputusan itu dijangka hanya menjadi gangguan kecil buat Inter yang masih berpeluang mengesahkan kejuaraan ke-21 jika menewaskan Parma Calcio di San Siro hujung minggu ini.
Dengan baki empat perlawanan, Inter kini masih selesa di puncak liga dengan kelebihan 10 mata ke atas pencabar terdekat, Napoli.
Dalam perkembangan sama, perebutan slot Liga Juara-Juara di Serie A semakin sengit selepas AC Milan dan Juventus sekadar seri tanpa jaringan dalam aksi hambar di San Siro.
Keputusan itu membuka ruang kepada pasukan lain untuk terus memberi tekanan, dengan Juventus kini berada di tangga keempat, hanya tiga mata di hadapan Como dan AS Roma.
AC Milan pula kekal di kedudukan ketiga dengan kelebihan tiga mata ke atas Juventus, namun masih belum boleh menarik nafas lega dalam usaha kembali ke pentas elit Eropah selepas tidak beraksi musim ini. – AFP/UTUSAN









