ROME: Inter Milan melengkapkan musim cemerlang mereka dengan bergaya selepas menjulang Piala Itali buat kali ke-10 hasil kemenangan 2-0 ke atas Lazio pada aksi final di Stadium Olimpico, semalam.
Kejayaan itu sekali gus melengkapkan ‘double’ domestik skuad Nerazzurri selepas sebelum ini menjuarai liga dengan merangkul gelaran Serie A ke-21.
Gol sendiri pemain pertahanan Lazio, Adam Marusic pada minit ke-14 membuka laluan Inter sebelum kapten, Lautaro Martinez menggandakan jaringan pada minit ke-35 untuk memastikan kemenangan selesa pasukan bimbingan Cristian Chivu.
“Kami layak memenangi trofi ini selepas mengharungi musim yang baik.Menjuarai liga dan piala bukan sesuatu yang boleh dianggap mudah. Kami sangat gembira,” kata Chivu.
Inter ternyata menguasai perlawanan sejak awal dan hampir tidak diuji Lazio yang tampil hambar sepanjang 90 minit aksi.
Gol pembukaan hadir apabila tandukan Marcus Thuram daripada sepakan penjuru Federico Dimarco terkena Marusic sebelum menerjah gawang sendiri.
Lazio terus dihukum 20 minit kemudian selepas kesilapan Nuno Tavares berhampiran kotak penalti sendiri membolehkan Denzel Dumfries merampas bola sebelum mengumpan kepada Martinez yang mudah menolak masuk jaringan.
Ia merupakan gol ke-22 Martinez dalam semua pertandingan musim ini meskipun penyerang Argentina itu beberapa kali diketepikan akibat kecederaan.
Memasuki babak kedua, Inter semakin selesa mengawal rentak permainan sambil Lazio terus gagal mencipta ancaman bermakna.
Pasukan bimbingan Maurizio Sarri itu hampir merapatkan jurang, namun percubaan Boulaye Dia yang terkena penjaga gol Inter, Josep Martinez seolah-olah menggambarkan malam malang Lazio. – AGENSI/UTUSAN










