Kebakaran asrama di Kenya ragut 16 nyawa

Kebakaran asrama di Kenya ragut 16 nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAIROBI: Kebakaran di sebuah asrama perempuan di Kenya pada Khamis mengorbankan 16 kanak-kanak dan menyebabkan 79 lagi dimasukkan ke hospital dalam insiden terbaharu yang meragut nyawa di sekolah negara Afrika Timur itu.

Kebakaran berlaku sejurus pukul jam 1 pagi waktu tempatan di Akademi Puteri Utumishi di Daerah Nakuru, kira-kira 120 kilometer di utara ibu negara Nairobi, menurut pihak berkuasa.

Kenya sebelum ini menyaksikan banyak kebakaran sekolah yang dahsyat, memandangkan sekolah berasrama merupakan amalan biasa yang diwarisi sejak era penjajahan mubaligh dan British.

“Kami mencatatkan 16 kematian. Ini satu insiden yang malang,” kata Menteri Pendidikan, Julius Migos Ogamba kepada wartawan di lokasi kejadian, tanpa mendedahkan umur mangsa.

Seorang wartawan AFP melihat asrama yang terjejas mempunyai tingkap pecah, dinding hangus dan bumbung zink yang runtuh.

Ibu bapa mangsa sedang dimaklumkan oleh petugas kesihatan di lokasi kejadian pada tengah hari ketika mayat dikenal pasti.

Seorang ibu, Leila Matura, 52, berkata anak perempuannya yang berusia 18 tahun masih hilang.

“Kami pergi ke hospital untuk melihat sama ada dia ada di sana, tetapi dia tiada. Jadi mereka beritahu kami dia masih belum ditemui dan mungkin antara yang hilang.

“Sama ada dia masih hidup atau sudah meninggal dunia, kami tidak tahu. Saya sudah putus harapan,” katanya kepada AFP.

Seorang lagi ibu yang enggan dikenali berkata, anak perempuannya yang berusia 17 tahun kini dirawat di hospital.

“Dia patah kedua-dua belah kaki selepas terjun dari tingkap. Syukur dia kuat. Ini mimpi ngeri setiap ibu,” katanya.

Sekolah itu mempunyai kaitan dengan Perkhidmatan Polis Kebangsaan Kenya dan kebanyakan pelajarnya merupakan anak anggota polis.

“Ketika kami tiba, api masih marak. Kebakaran sangat besar… Kami mengambil masa kira-kira 45 minit untuk memadamkan api kerana terdapat tilam di dalam asrama,” kata seorang anggota bomba yang hanya dikenali sebagai Fred kerana tidak diberi kuasa bercakap kepada media.- AFP

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN