Kanak-kanak makin derita jika Israel kuasai 70 peratus Gaza

Kanak-kanak makin derita jika Israel kuasai 70 peratus Gaza

SEORANG kanak-kanak lelaki duduk di atas runtuhan sebuah balai polis yang musnah diserang Israel di Gaza City.-AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam memberi amaran rancangan Israel untuk menguasai 70 peratus wilayah Gaza akan meningkatkan lagi penderitaan kanak-kanak yang sudah terjejas akibat kesan kesesakan melampau.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengarahkan tentera negara itu untuk menguasai lebih banyak kawasan di Semenanjung Gaza, sekali gus mengetepikan syarat gencatan senjata rapuh yang berkuat kuasa pada Oktober.

Beliau berkata, tentera Israel pada mulanya menguasai 50 peratus wilayah Palestin itu mengikut syarat gencatan senjata sebelum meluaskan kawalan kepada 60 peratus kawasan.

“Arahan saya adalah untuk bergerak ke arah… 70 peratus,” katanya.

Agensi Kanak-Kanak PBB (UNICEF) memberi amaran langkah itu akan memburukkan lagi krisis kesihatan yang dihadapi kanak-kanak di wilayah yang musnah akibat perang, yang kini berdepan kekurangan makanan, air bersih dan kemudahan kebersihan yang serius.

Israel mengawal kemasukan bantuan kemanusiaan serta semua pintu masuk ke Gaza, yang dikenakan sekatan oleh Israel sejak 2007.

Malah sebelum serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang di Gaza, wilayah itu sudah pun mempunyai kepadatan penduduk yang sangat tinggi.

“Kini, penduduk terpaksa berhimpit dalam kira-kira 40 peratus sahaja daripada keseluruhan kawasan yang ada,” kata jurucakap UNICEF, Salim Oweis, kepada wartawan di Geneva ketika bercakap dari Gaza.

Menurutnya, penduduk terpaksa berlindung di celah bangunan yang rosak, timbunan runtuhan dan longgokan sisa pepejal yang semakin bertambah.

“Tiada lagi kawasan yang boleh diakses untuk membersihkan sisa buangan tersebut,” katanya.

“Kesan daripada keadaan ini kini semakin jelas kelihatan: kanak-kanak mengalami jangkitan pernafasan, cirit-birit akut berair, dan lebih separuh daripada isi rumah melaporkan masalah penyakit kulit,” kata Oweis.

“Masalah kutu, kutu rambut dan kudis buta (scabies) kini menjadi perkara biasa,” katanya, sambil mendedahkan terdapat banyak kes tikus menggigit kanak-kanak kecil malah bayi.

Oweis berkata, seorang wanita bernama Hind ‘tidak dapat tidur sejak anak perempuannya yang berusia empat tahun, Masa, digigit tikus pada waktu malam’.

“Seperti kebanyakan keluarga lain, mereka berlindung di mana sahaja yang boleh. Dalam kes mereka, mereka tinggal di tingkat dua sebuah blok bangunan yang mengalami kebocoran air kumbahan dari siling, manakala tikus keluar melalui rekahan bangunan dan memanjat paip yang terdedah,” katanya.

Tikus bukan satu-satunya ancaman yang dihadapi penduduk.

Oweis berkata beliau turut bercakap dengan seorang lagi wanita bernama Amani yang anak perempuannya berusia tujuh tahun mengalami luka dan kudis yang teruk pada kepala, belakang badan dan kaki akibat jangkitan bakteria.

Jika Israel menguasai lebih banyak wilayah, beliau memberi amaran keadaan itu akan menyebabkan akses kepada sebahagian pusat perkhidmatan hilang, selain menyukarkan usaha untuk sampai ke kawasan terpencil yang masih didiami kanak-kanak dan keluarga.

“Ini hanya akan menyebabkan lebih ramai kanak-kanak menderita,” katanya.

Kementerian Luar Palestin mengecam pengumuman Netanyahu itu sebagai pelanggaran serius terhadap asas-asas gencatan senjata.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN