Jururawat Myanmar tamatkan pengajian dalam hutan

Jururawat Myanmar tamatkan pengajian dalam hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU majlis graduasi ‘rahsia’ berlangsung bulan lalu bagi meraikan 21 pelajar yang berjaya menamatkan pengajian bidang kejururawatan dalam situasi penuh mencabar di kawasan hutan di Myanmar.

Tersembunyi daripada dron pengintip junta tentera Myanmar dan berdepan gangguan internet, para pelajar itu gigih menjalani latihan menerusi sistem kesihatan khas yang diwujudkan selepas rampasan kuasa pada Februari 2021.

“Keselamatan tidak pernah terjamin,” kata Khun Sue Reh, 23, yang merupakan antara graduan bagi program khas tiga tahun kejururawatan itu.

Selain mengikuti kuliah dan peperiksaan seperti biasa, para pelajar turut berdepan serangan udara di hospital tempat mereka menjalani latihan, dron pengintip kerajaan, sekatan jalan raya dan gangguan internet.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sejak rampasan kuasa berlaku, seramai 18.6 juta penduduk Myanmar memerlukan bantuan kemanusiaan, 3.2 juta menjadi pelarian dalaman dan lebih 55,000 bangunan awam musnah.

PENGINAPAN pelajar dibina di dalam kawasan hutan di Myanmar.-AGENSI

Lebih 200,000 orang pula melarikan diri ke negara jiran termasuk Bangladesh, India dan Thailand.

Satu sistem kesihatan rahsia di sebalik hutan turut muncul bagi merawat mereka yang tidak berani mendapatkan rawatan di hospital dikawal kerajaan atau tinggal di kawasan luas yang berada di luar kawalan rejim.

Sue Reh dan rakannya, Rosetta, masih bergelar pelajar ketika rampasan kuasa berlaku dan merasakan mereka perlu menyertai Gerakan Ketidakpatuhan Awam (CDM) menentang junta.

Sebagai pelajar jururawat, Rosetta menyertai klinik bergerak komuniti yang menyediakan perkhidmatan asas kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik.

Katanya, ada ketika dia terpaksa belajar di pusat perlindungan sementara sambil bersembunyi daripada dron kerajaan.

Pensyarah kejururawatan yang hanya mahu dikenali sebagai April menjadi antara individu penting yang berusaha menubuhkan sekolah kejururawatan rahsia di Myanmar bagi memulihkan struktur kesihatan yang semakin runtuh.

“Sejak awal lagi jururawat menyertai gerakan ini, termasuk saya. Kami bermula dengan demonstrasi aman. Kemudian junta mula bertindak keras terhadap penunjuk perasaan, mereka dipukul, ditembak dan ada yang terkorban.

“Jadi jururawat dan doktor tampil menubuhkan klinik rahsia dalam komuniti untuk merawat mereka yang cedera semasa protes. Keadaan kemudian menjadi semakin buruk sehingga kami tidak lagi boleh bekerja di bandar besar dan terpaksa berpecah ke seluruh negara,” katanya.

April kemudian menghubungi rakan sekerja di United Kingdom (UK) dan bersama-sama mereka mengatur kelas induk secara video mengenai pelbagai topik termasuk cara merawat kecederaan akibat protes.

Apabila junta mula mengawal akses internet dan harga data meningkat mendadak, video latihan yang dirakam di UK diseludup ke seluruh Myanmar menggunakan pemacu memori.

Namun, akses kepada rawatan kesihatan asas di Myanmar, termasuk vaksinasi dan ubat bagi penyakit kronik terjejas teruk akibat perang. Kira-kira 1,900 insiden keganasan atau halangan terhadap sektor kesihatan direkodkan sejak 2021.

Hospital dan klinik rosak atau musnah, sekurang-kurangnya 170 petugas kesihatan terbunuh dan 909 lagi ditahan dengan 70 peratus insiden dikaitkan dengan angkatan tentera Myanmar.

Dalam keadaan terdesak, April dan rakan-rakannya menyedari video latihan semata-mata tidak mencukupi.

Mereka kemudian berjaya mendapatkan bantuan puluhan ahli akademik antarabangsa untuk merakam kuliah bagi 58 modul mengikut silibus Myanmar, daripada penjagaan bayi baru lahir hingga penyakit tropika. Dari situ, lahirnya program Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan Phoenix.

Melalui rakaman itu, April dan rakan-rakannya menubuhkan sekolah kejururawatan sepenuhnya di dalam hutan.

Fasilitator di bilik darjah asas serba kekurangan menggunakan akses internet Starlink untuk membimbing pelajar-pelajar wanita cekal ini melalui sesi rakaman kuliah yang disertakan latihan praktikal.

“Mereka tidak mempunyai air bersih, tidak mempunyai tempat perlindungan yang sempurna dan keperluan asas juga sangat terhad. Mereka sentiasa berisiko diserang dron dan serangan udara.

Ada bom yang jatuh betul-betul di sebelah bilik darjah.

“Pernah juga kami terpaksa memindahkan pelajar dan kampus kerana risiko pertempuran,” katanya.

Menurut April, mereka juga bekerja di hospital yang kekurangan kemudahan.

SISTEM kesihatan rahsia di sebalik hutan digunakan bagi merawat penduduk yang takut mendapatkan rawatan di hospital besar.-AGENSI

“Ubat seperti paracetamol sangat sukar diperoleh secara pukal kerana junta menyekat semua laluan bekalan ke hospital dalam hutan. Daripada keperluan asas hinggalah peralatan besar seperti pengimbas MRI, malah mesin ultrasound mudah alih juga sukar diperoleh,” katanya.

Akses internet amat terhad dan dipantau rapi, menyebabkan sesi pembelajaran perlu dirancang dengan berhati-hati bagi mengelakkan perhatian pihak berkuasa.

“Tekanan emosi juga sangat berat bagi saya dan ramai yang lain. Kami bukan sahaja takut untuk diri sendiri, tetapi juga bimbang terhadap keluarga, rakan-rakan dan komuniti.

“Namun dalam kesukaran ini, kami masih mempunyai impian, harapan dan keazaman, malah kami mahu menyumbang kepada masa depan yang lebih baik,” katanya.

Menurut Pengarah Bersekutu Kejururawatan Antarabangsa Kolej Kejururawatan Diraja (RCN), Marcus Wootton di UK yang terlibat dalam projek itu, tiada kompromi terhadap kualiti pendidikan dan semua yang terlibat layak diberi penghargaan.

“Ia adalah ijazah bertaraf antarabangsa. Pencapaian graduan baharu ini juga sangat luar biasa,” katanya.

Kini terdapat lima lagi kumpulan pelajar sedang mengikuti pengajian tersebut, selain program setahun bagi jururawat diploma yang mahu meningkatkan kelayakan ke peringkat ijazah.

“Nama Phoenix itu sendiri sangat bermakna bagi kami. Ia melambangkan kebangkitan daripada kemusnahan akibat rampasan kuasa.

“Kumpulan kami mewakili pembinaan semula sistem kesihatan beretika,” tulis seorang pelajar kepada RCN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN