ISKANDAR PUTERI: Johor merekodkan hasil negeri sebanyak RM1 bilion sejak 1 Januari hingga 30 April tahun ini, peningkatan sebanyak RM307 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya komited memastikan setiap peningkatan hasil diterima akan dimanfaatkan kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif berimpak tinggi yang telah dirancang.
Sehubungan itu katanya, Johor berada pada landasan terbaik untuk membantu rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup susulan ketidakstabilan ekonomi global ketika ini.
“Kerajaan negeri ambil pendekatan untuk pulangkan lebihan hasil diterima secara terus kepada rakyat antaranya melalui Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang merangkumi lebih 100 inisiatif dengan peruntukan hampir RM400 juta.
“Sehubungan itu, saya umumkan 22 lagi inisiatif BKJ fasa empat melibatkan peruntukan tambahan berjumlah RM138 juta, antaranya termasuklah bantuan one-off RM200 kepada warga emas; RM200 kepada suri rumah; RM400 kepada pasangan baharu berkahwin; RM300 kepada peniaga kecil, RM200 kepada anak yatim dan RM200 kepada sukarelawan penggali kubur,” katanya.
Belia berkata demikian ketika menjawab soalan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Rashidah Ramli (BN-Parit Raja) berhubung inisiatif kerajaan membantu kesejahteraan rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Onn Hafiz yang juga ADUN Machap turut memberitahu, pihaknya memahami tekanan kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat dan komited memikul amanah dan tanggungjawab membela kesejahteraan mereka.
“Jualan Kasih Johor juga sedang giat dilaksanakan, kita telah peruntukan RM15.4 juta untuk melaksanakan inisiatif itu di 336 lokasi sepanjang tahun ini yang akan memanfaatkan 2 juta rakyat. Namun susulan sambutan baik diterima, kita akan tambah peruntukan RM30 juta untuk menjayakannya.
“Selain itu, kita turut memperuntukkan RM138.7 juta untuk bantuan perumahan, melibatkan pemberian one-off RM5,000 bagi inisiatif Beli Rumah Pertama dan RM2,500 bagi inisiatif Sewa Rumah,” katanya.
Pada masa sama, Onn Hafiz turut menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas keprihatinan baginda terhadap kesejahteraan rakyat, kos sara hidup, kemajuan ekonomi negeri serta masa depan Johor.
Habis..
Caption:
Onn Hafiz Ghazi








