Isu peruntukan: Amir Hamzah mengadap Sultan Pahang minggu ini

Isu peruntukan: Amir Hamzah mengadap Sultan Pahang minggu ini

AMIR Hamzah Azizan menyempurnakan majlis penyerahan blok tambahan kelas pra sekolah program pendidikan khas integrasi (PPKI) SK Tan Sri Awang Had Salleh di Balik Pulau, Pulau Pinang, hari ini. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan mengadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memperjelaskan isu berkaitan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri itu.

Amir Hamzah berkata, pertemuan tersebut dijangka berlangsung dalam minggu ini bagi memastikan semua pihak memahami kedudukan sebenar berhubung bantuan dan peruntukan yang telah disalurkan kerajaan pusat kepada Pahang.

“Saya akan mengadap Sultan Pahang dan akan berbincang juga dengan kerajaan negeri Pahang untuk memperjelaskan perkara ini. Saya rasa tidak ada masalah. Ini hanya untuk memastikan semua pihak faham apa yang telah kita berikan dan peruntukan yang disediakan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan blok tambahan kelas pra sekolah program pendidikan khas integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Tan Sri Awang Had Salleh di sini, hari ini.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang ke-15 sebelum ini bertitah mempersoalkan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri itu.

Susulan titah berkenaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan meminta Amir Hamzah selaku Menteri Kewangan II menyediakan penjelasan menyeluruh berhubung peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri Pahang untuk dikemukakan kepada Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, Kerajaan Persekutuan sentiasa komited bagi memastikan peruntukan kepada negeri-negeri disalurkan mengikut keperluan yang dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan serta berusaha meningkatkan jumlah peruntukan setiap tahun terutama melibatkan projek pembangunan yang disifatkan penting dan mempunyai keutamaan tertentu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN