Israel bina kompleks IDF di tapak pejabat UNRWA

Israel bina kompleks IDF di tapak pejabat UNRWA

PENDUDUK Palestin berjalan di hadapan bangunan UNRWA yang musnah akibat serangan Israel di Gaza.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel meluluskan rancangan pembinaan kompleks ketenteraan baharu di tapak bekas ibu pejabat Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Baitulmuqaddis Timur, menurut Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz.

Pihak berkuasa Israel sebelum ini menuduh UNRWA bersekongkol dengan Hamas dalam serangan 7 Oktober 2023 ke atas komuniti Israel.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) merampas dan merobohkan sebahagian kompleks UNRWA itu pada 2024 selepas parlimen meluluskan undang-undang yang melarang operasi agensi berkenaan di kawasan di bawah kawalan Israel.

Disember lalu, Kementerian Pertahanan Israel menandatangani perjanjian dengan pihak berkuasa bandar raya Baitulmuqaddis bagi membina ibu pejabat pertahanan baharu dan memindahkan beberapa kolej ketenteraan ke bandar itu.

Media Israel melaporkan, kompleks baharu berkeluasan kira-kira sembilan ekar berhampiran Ammunition Hill itu akan menempatkan muzium IDF, pejabat pengambilan tentera serta kemudahan untuk menteri pertahanan.

Katz pada Ahad berkata, langkah itu melambangkan kedaulatan, Zionisme dan keselamatan, sambil menegaskan tiada perkara yang lebih simbolik selain menubuhkan institusi pertahanan di atas runtuhan kompleks UNRWA, yang asalnya diwujudkan untuk membantu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat perang Arab-Israel 1948.

Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini, bagaimanapun mengecam kemusnahan pejabat itu sebagai ‘tahap baharu pencabulan terbuka dan disengajakan terhadap undang-undang antarabangsa’.

Walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menafikan sebarang sokongan institusi kepada Hamas, UNRWA memaklumkan siasatan dalaman pada 2024 mendapati bukti yang ada menunjukkan sembilan kakitangannya ‘mungkin terlibat dalam serangan 7 Oktober’.

Agensi itu mengendalikan sekolah, klinik dan program bantuan untuk pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lubnan dan Syria.

Menurut PBB, lebih 2.3 juta penduduk kehilangan tempat tinggal akibat kempen ketenteraan Israel di Gaza, dengan lebih sejuta berlindung di kemudahan UNRWA. Lebih 72,000 rakyat Palestin turut dilaporkan terbunuh di Gaza sejak 2023.

Agensi PBB dan pertubuhan kemanusiaan berulang kali memberi amaran mengenai keadaan kritikal di wilayah itu, termasuk kebuluran meluas serta kem pelarian yang sesak.

Israel menafikan dakwaan sengaja menyasarkan orang awam dan menuduh Hamas mencuri bantuan makanan serta menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN