PETALING JAYA: Pemain sepak takraw negara, Muhammad Noraizat Mohd Nordin mengakui berdepan tekanan dalam mempertahankan kejuaraan acara regu pada kejohanan Piala Dunia Sepaktakraw 2026 yang bakal membuka tirai pada Sabtu ini di Stadium Titiwangsa.
Noraizat atau mesra disapa Ijat yang sebelum ini beraksi dalam acara double, bakal menggalas tugas dalam acara regu dan berpasukan selepas acara tersebut tidak dipertandingkan pada edisi kali ini.
Ijat berkata tekanan tetap wujud apabila Malaysia turun selaku juara bertahan dan dijangka berdepan cabaran hebat daripada musuh tradisi, Thailand.
“Memang ada tekanan untuk kekalkan kejuaraan. Semua pasukan kini mahu kalahkan Malaysia, jadi kita tidak boleh pandang rendah sesiapa.
“Sebenarnya saya memang teringin sangat nak main regu. Alhamdulillah jurulatih beri kepercayaan, jadi saya perlu laksanakan tugas dengan sebaiknya,” katanya.
Mengulas mengenai prestasi semasa, Ijat menyifatkan tahap permainannya berada dalam keadaan baik, namun masih perlu ditingkatkan terutama daripada aspek kesilapan kecil yang dikenal pasti ketika saingan Sukan SEA sebelum ini.
“Kita akan berdepan pasukan kuat, jadi saya rasa ada peningkatan. Kesilapan kecil sebelum ini saya sudah perbaiki untuk kejohanan kali ini,” jelasnya.
Meskipun menggalas peranan sebagai pemain simpanan, Ijat menegaskan beliau sentiasa bersedia jika diperlukan oleh jurulatih.
“Saya cuma backup Azlan. Kalau diperlukan, saya sentiasa bersedia. Yang penting mentaliti sudah siap untuk beraksi,” ujarnya.
Skuad regu negara dibarisi oleh trio utama negara dengan tekong utama, Muhammad Syahir Mohd Rosdi, Apit kiri negara, Farhan Adam, Apit kanan, Mohammad Azlan Alias serta Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Noraizat di bangku simpanan.
Untuk rekod, pada edisi lalu, skuad regu negara berjaya muncul juara selepas membenam musuh tradisi Thailand 2-0 dalam aksi final di Titiwangsa.-UTUSAN










